HAMAS bersetuju untuk berunding dengan pergerakan Fattah yang merupakan pesaingnya dan menyatakan kesediaan mereka untuk mengadakan pilihan raya umum di wilayah Palestin.
Hamas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Ahad berkata, pihaknya akan menerima syarat yang dikenakan oleh Presiden Mahmoud Abbas dan membubarkan jawatankuasa pentadbiran Gaza, sebuah badan yang dilihat pihak berkuasa Palestin sebagai kerajaan selari.
Hamas mentadbir Gaza sejak 2007, apabila memaksa pasukan tentera yang setia kepada Abbas daripada keluar dari pesisir pantai itu selepas menewaskan Fatah dalam pilihan raya parlimen.
Sejak itu, kepimpinan Palestin terpisah kepada dua saingan kerajaan, dengan Hamas mengawal Gaza manakala Abbas menjaga kawasan autonomi yang dikuasai Israel di Tebing Barat.
Sebelum ini cubaan untuk penyatuan antara kedua belah pihak pernah mengalami kegagalan.
Dalam kenyataannya pada Ahad, Hamas mengajak kerajaan perpaduan yang diketuai oleh Abbas untuk kembali ke Gaza dan berkata pihaknya sedia berunding dengan Fatah.
Kerajaan perpaduan itu ditubuhkan pada 2014, namun tidak boleh beroperasi di Gaza.
“Hamas mengajak kerajaan konsensus untuk datang ke Gaza dan mempraktikkan misi dan menjalankan tugas di Jalur Gaza secepat mungkin dan ia menerima untuk mengadakan pilihan raya umum,” menurut kenyataan Hamas itu.
Fatah mengalu-alukan janji yang dibuat namun mahu melihat ia dilaksanakan sebelum mengambil langkah seterusnya.
Penasihat Abbas, Nabil Shaath berkata Fatah begitu “optimis” dan “bersedia”.
“Sebaik sahaja kerajaan konsensus..mula mentadbir Gaza dan Tebing Barat, mula bangunkan ekonomi dan mula menyelesaikan masalah ekonomi rakyat Gaza, langkah pertama itu akan menjadikan optimis untuk langkah kedua, iaitu pilihan raya,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Pilihan raya presiden dan perundangan akan mengembalikan semula kerajaan yang dipilih,” katanya.
Keputusan Hamas itu timbul selepas mengadakan perbincangan berasingan oleh delegasi Hamas dan Fatah dengan pihak berkuasa Mesir beberapa hari lalu.
Pergerakan itu berkata ia sebagai maklum balas kepada usaha kerajaan Mesir, yang mencerminkan keinginan Mesir untuk menamatkan perpecahan ini dan mencapai perdamaian dan berdasarkan kemahuan kami yang inginkan penyatuan kebangsaan.”
Mesir menjadi “orang tengah” yang berunding dengan Fatah untuk melaksanakan perjanjian yang ditandatangani pada 2011 di Kaherah dengan Hamas untuk menamatkan pertikaian kedua-dua pihak dan membentuk kerajaan interim sebelum pilihan raya. – Agensi, 17 September, 2017.
Komen