-2.jpg)
MASUK universiti yang terkenal adalah impian besar bagi kebanyakan orang muda. Akan tetapi, kemasukan ke institusi pra universiti, iaitu matrikulasi dan STPM yang sepatutnya setaraf tetapi realitinya juah berbeza, akan menentukan nasib dan masa depan seseorang pelajar.
Apabila mendapat tawaran matrikulasi pada tahun 2013, saya masih kurang pasti sama ada harus memasuki Kolej Matrikulasi ataupun meneruskan STPM saya. Pada masa itu, ramai guru yang pernah mengajar saya measihati saya untuk memasuki matrikulasi kerana kemasukan ke program ini dianggap sebagai satu jaminan untuk masuk universiti awam nanti. Pada masa itu, saya tidak percaya sepenuhnya apa yang dikatakan oleh guru-guru saya.
Akhirnya saya telah memilih matrikulasi, dan saya menikmati persekitaran pembelajaran dan berusaha sepenuhnya untuk mendapat keputusan yang cemerlang di sana. Kebanyakan para pensyarah juga amat profesional serta tidak jemu mencurah ilmu dan memberi nasihat kepada pelajar.
Setelah satu semester berakhir, saya agak bimbang dengan keputusan peperiksaan kerana terdapat beberapa soalan yang saya tidak mampu jawab dengan sepenuhnya. Kawan-kawan saya yang memeriksa buku rujukan sebaik sahaja peperiksaan berakhir juga bimbang dengan keputusan mereka sendiri.
Bagaimanapun, apabila keputusan diumumkan saya memperoleh CGPA 4.0 iaitu CGPA tertinggi! Ketika rasa bersyukur, saya juga rasa hairan apabila mendapat tahu ramai pelajar matrikulasi yang juga mendapat CGPA 4.0. Lebih ramai pelajar mendapat CGPA 3.7 dan ke atas.
Pada masa itu saya pelik: Kenapa ada begitu ramai pelajar yang boleh mendapat keputusan yang cemerlang? Namun pada masa itu, saya cuma anggap tahap akademik para pelajar Kolej Matrikulasi sememangnya tinggi, ataupun mungkin semua pelajar juga bertuah.
Apabila kami menyertai aktiviti kokurikulum, perkara pertama yang diterangkan oleh pensyarah adalah kelebihan yang diberi kepada para pelajar matrikulasi. Asalkan menyertai aktiviti kokurikulum, kami dikira mencatat penyertaan bertaraf negeri atas sebab setiap negeri hanya mempunyai satu Kolej Matrikulasi. Disebabkan itu juga, markah kokurikulum yang diberikan kepada pelajar kokurikulum amat tinggi.
Pada saat itu baru saya sedar dan faham apa yang dikatakan oleh guru saya sebelum memasuki matrikulasi. Sedangkan pelajar STPM masih perlu merebut peluang yang tipis untuk dan bersusah payah untuk menyertai aktiviti kokorukilum, pelajar matrikulasi tidak perlu terlalu rajin kerana secara automatik penyertaan mereka akan diiktiraf sebagai penyertaan tahap negeri. Senang sahaja untuk kami memperoleh markah kokurikulum sebanyak 90 dan ke atas, sedangkan markah tertinggi adalah 100.
Terlalu cepat masa berlalu. Dua semester di Kolej Matrikulasi telah sampai ke penghujungnya. Kami berjabat tangan dengan para pensyarah yang bertungkus lumus mengajar serta kawan-kawan yang belajar dan bermain bersama-sama untuk mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal.
Pada masa saya menamatkan pelajaran di matrikulasi dan perlu bersiap sedia untuk cabaran di universiti awam yang akan datang, saya teringat kawan-kawan saya yang mengambil STPM masih sedang meneruskan pelajaran mereka di sekolah menengah.
Saya rasa bertuah kerana diberi layanan khas untuk menamatkan pelajaran pra universiti setahun awal dan diberi pilihan kursus kedua di universiti awam. Majoriti daripada kawan saya di matrikulasi juga amat bertuah kerana diberi pilihan kursus yang diminati.
Namun saya rasa bersalah kepada kawan-kawan STPM saya yang juga cemerlang, rajin belajar dan berhasrat tinggi untuk melanjutkan pelajaran di universiti awam yang terkemuka serta diberi kursus yang paling diminati.
Mereka tidak menikmati peluang dan keistimewaan seperti saya. Mereka terpaksa belajar selama dua tahun untuk mengambil peperiksaan STPM sepenuhnya, dan akhirnya kebanyakan daripada mereka tidak diberi kursus yang diminati walaupun keputusan mereka amat cemerlang. Yang berhasrat tinggi untuk menjadi ahli farmasi hanya diberi pilihan kursus kelapan, dan banyak lagi contoh serupa yang menyedihkan.
Itulah nasib. Tanda permulaan yang jauh berbeza dan tidak adil itu telah mencorakkan dan menentukan kehidupan dan masa depan orang muda di Malaysia, tanah air kita. – 26 April, 2019.
* Danny Ho adalah seorang bekas pelajar matrikulasi dan telah menamatkan pelajaran di Universiti Malaya.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen