Pelajar pondok boleh ke kolej komuniti, kata Maszlee


Mikha Chan

Inisiatif yang dikenali dengan nama Pondok Perdana itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Pondok Perdana, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

PELAJAR sekolah pondok akan diberi peluang mengikuti pengajian kemahiran dan vokasional di peringkat sijil atau diploma di bawah inisiatif baru Kementerian Pendidikan mengukuhkan kolej komuniti, kata Menterinya Dr Maszlee Malik.

Inisiatif yang dikenali dengan nama Pondok Perdana itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Pondok Perdana, katanya.

“Melalui inisiatif ini, KPM yakin mampu meningkatkan kemahiran TVET kepada pelajar pondok dan mereka akan diberikan peluang untuk mengikuti pengajian di peringkat sijil atau diploma di Kolej Komuniti Jeli atau Politeknik Jeli,” kata Maszlee pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Inisiatif itu diharap akan menambah nilai kemahiran kepada pelajar pondok melalui pelbagai program yang lebih berstruktur, jelasnya.

Pertubuhan Pondok Perdana ditubuhkan oleh Majlis Dakwah Negara dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada Februari 2017 dengan usahasama pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain Pondok Perdana, Maszlee mengumumkan dua lagi inisiatif baru memperkasakan kolej komuniti.

Di bawah inisiatif itu, kolej komuniti akan membuka empat laluan kemasukan iaitu pelatih, persijilan profesional, keusahawanan dan sijil kolej komuniti.

Program yang dikenali sebagai ACES (atau Apprenticeship, Professional Certification, Entrepreneurship dan Sijil Kolej Komuniti) itu dilaksanakan dengan kerjasama syarikat Segi Seri Sdn Bhd.

Kolej komuniti juga akan menjadi kerjasama dengan industri terutamanya yang melibatkan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0), yang dijalin dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan ME.REKA, sebuah platform pendidikan terbuka.

Insiatif itu akan dikenali sebagai Maker Market, kata Maszlee.

“Selain program matrikulasi, pelajar boleh menimbangkan latihan teknikal dan vokasional.

“Lepasan SPM patut menimbangkan kolej komuniti sebagai antara pilihan mereka,” katanya.

Pada masa ini terdapat 103 kolej komuniti di seluruh Malaysia, dengan 93 daripada kolej utama sementara 10 adalah cawangan yang diuruskan Bahagian Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti. – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen