Terengganu harap limpahan dari projek ECRL


Mohd Farhan Darwis

Di Terengganu, negeri yang dahagakan pembangunan, khabar penyambungan semula ECRL disambut baik penduduk. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

KERAJAAN Terengganu berharap kontraktor tempatan akan mendapat meraih peluang daripada projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang diteruskan semula kerajaan persekutuan.

Exco Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS itu juga berharap rakyat akan mendapat keuntungan daripada projek mega tersebut.

“Kita sudah jalankan beberapa rundingan untuk beri peluang kepada kontraktor tempatan, bagaimana projek besar itu boleh disubkontrak kepada kontraktor kecil di Terengganu.

“Rakyat Terengganu juga boleh ambil peluang daripada pekerjaan yang akan ditawarkan contohnya dalam bidang industri makanan dan sektor pembinaan,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight.

Beliau memberi contoh, kerajaan negeri memohon supaya rakyatnya boleh membekal pasir dan juga menjadi pemandu lori untuk membekal bahan tersebut.

“Kita juga difahamkan tidak ramai tenaga kerja dari China akan digunakan, jadi ada peluang untuk rakyat tempatan,” katanya.

Adun Bukit Payung itu juga berkata projek ECRL itu sedikit sebanyak membantu usaha kerajaan Terengganu mewujudkan bandar baharu bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Projek itu merupakan antara beberapa projek mega yang ditangguhkan dan dirunding semula selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Exco Hal Ehwal Sumber Manusia dan Penerangan Terengganu Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri pimpinan PAS itu juga berharap rakyat akan mendapat keuntungan daripada projek mega tersebut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

Pada 12 April lalu, kerajaan PH mengumumkan, projek itu diteruskan semula dengan kos lebih rendah selepas delegasi diketuai penasihat kerajaan Daim Zainuddin mengadakan rundingan dengan China.

Kos untuk kedua-dua fasa ECRL itu dikurangkan sebanyak RM25.1 bilion kepada RM44 bilion.

Para pengusaha di Terengganu yang ditemui The Malaysian Insight menyambut baik pengumuman itu dan gembira dengan keuntungan yang diperolehi.

Salah seorangnya, peniaga kedai barangan pembinaan, Muhammad Shamsuddin Mat Salleh, 59, dari Kampung Alur Wan Syed, Pengkalan Beringin, Marang.

Katanya, beliau pada asalnya berkira-kira akan menerima pampasan RM3 juta apabila projek itu diumumkan buat pertama kali oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana, kawasan tanah empat ekar meliputi kedai, dan kilang konkrit miliknya merupakan tapak asal cadangan untuk pembinaan stesen ECRL Pengkalan Berangan, waktu itu.

Bagaimanapun, selepas penilaian semula pembinaan stesen dan jajaran landasan keretapi itu dianjakkan dari tanah milik Muhammad ke kawasan tanah kerajaan kira-kira 1km dari kedainya.

Projek mega ECRL disambung semula selepas rundingan berjaya dilakukan dengan China, dan berita itu disambut baik penduduk tempatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

Namun begitu, beliau tetap mendapat keuntungan kerana ia memberi peluang kepadanya untuk terus berniaga dan membekalkan keperluan untuk projek ECRL.

“Waktu itu saya dah fikir mana nak berniaga apabila tanah saya diambil alih nanti, memang akan ada pampasan tapi saya juga kena cari tempat lain nak berniaga, mengikut kiraan saya, pampasan ada dalam RM3 juta.

“Tapi bagus juga bila tak jadi ambil alih tanah, ada lagi peluang saya untuk berniaga,” katanya, ketika ditemui The Malaysian Insight, di premis miliknya, baru-baru ini.

Menurutnya, jentera berat mula memasuki tapak pembinaan stesen dan landasan sepanjang 8km, di Pengkalan Berangan, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan projek itu diteruskan semula.

Kontraktor ECRL yang dilantik itu seterusnya mendapatkan barangan keperluan daripada kedainya.

“Mereka ambil barang-barang kecil seperti papan lapis, paku, batu-bata, simen, paip, dan besi, serta banyak lagi barangan dari kedai saya.

“Barangan yang diambil juga dipastikan yang ada cop pengesahan Sirim,” kata pesara guru yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mad itu.

Tanah Muhammad Shamsuddin Mat Salleh, 59, dari Kampung Alur Wan Syed, Pengkalan Beringin, Marang pada mulanya akan diambil alih untuk projek ECRL, tetapi kini terselamat selepas jajaran dianjak jauh sedikit membolehkannya terus berniaga meraih untung projek ECRL. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

Menurut Muhammad Shamsuddin, beliau juga diberikan tanggungjawab untuk mencari pekerja tempatan bagi mengisi kekosongan jawatan untuk kerja-kerja awal tersebut.

“Saya yang diminta untuk cari pekerja, dari pemandu lori dan jentera berat, juruukur tanah, sehinggalah kepada pengawal keselamatan, semua saya yang tolong carikan,” katanya.

Menurutnya, kontraktor berkenaan akan mengambil semula pekerja yang diberhentikan selepas ekoran penangguhan projek tersebut tahun lalu.

“Kontraktor ada hubungi saya, dan berjanji, mana-mana pekerja yang pernah bekerja sebelum ini, dan sekiranya masih berminat, mereka akan diambil bekerja semula,” katanya.

Selain itu, kontraktor terbabit turut menyewa tanah milik orang kampung seluas 6 ekar, dengan kadar RM5,000 sebulan untuk menyimpan kenderaan berat.

Tinjauan The Malaysian Insight mendapati, depoh jentera berat untuk kerja-kerja awal pembersihan kawasan tanah itu terletak di Kampung Bukit Parit.

Mohd Shahrul Idris, 43, dari Pengkalan Berangan berkata, kehadiran stesen ECRL di kawasannya dijangka akan mengubah kawasan perkampungan itu untuk jangka masa panjang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 April, 2019.

Rata-rata penduduk yang ditemui turut menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan pembinaan ECRL.

Mohd Shahrul Idris, 43, dari Pengkalan Berangan berkata, kehadiran stesen ECRL di kawasannya dijangka akan mengubah kawasan perkampungan itu untuk jangka masa panjang.

“Dari sudut ekonomi ia akan meningkatkan ekonomi penduduk dan berlaku pembangunan di kawasan persekitarannya. 

“Infrastruktur seperti jalan raya mungkin akan diperbesarkan dan kawasan kami ini yang hanya dikenali sebagai kawasan pertanian akan berkembang maju,” katanya.

Mohd Zainal Abidin Alias, 34, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan pula berkata beliau tidak menyangka projek ECRL akan diteruskan semula.

“Tetapi bila sudah diumumkan kita harap kawasan sekitar akan membangun, seiring dengan kemudahan yang ada,” katanya, yang menetap berhampiran pejabat projek ECRL, di Kuala Nerus.

Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar menyebut, dua daripada enam stesen yang akan dibina di Terengganu akan meliputi kargo dan penumpang iaitu di Chukai dan Dungun.

Empat lagi stesen, iaitu di Kemasik, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja akan beroperasi untuk penumpang sepenuhnya.

Hasil rundingan semula ECRL juga dijangka akan meningkatkan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 40% berbanding 30% dalam perjanjian awal.

Jajaran semula laluan itu menyingkatkan panjang landasan sebanyak by 40km, kepada 648km.

Laluan baharu ECRL itu meliputi Kota Bharu, Mentakab (Pahang), Jelebu (Negri Sembilan), Kuala Klawang (Negri Sembilan), Bangi/Kajang (Selangor), Putrajaya dan Port Klang.

Dua stesen utama – Bentong dan Gombak – serta terowong yang melibatkan kos tinggi merentasi Banjaran Titiwangsa juga dibatalkan. – 26 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen