UMNO dan PAS terus menggembleng tenaga melalui program bersama bagi meningkatkan persefahaman dan mengeratkan hubungan antara akar umbi kedua-dua parti, kata pemimpin dua parti itu.
Siri ceramah sepentas atas tema penyatuan ummah itu menampilkan tokoh dari kedua-dua parti yang kini mula melupakan permusuhan politik masa lalu sebaliknya berganding bahu menuju cita-cita masa depan yang baharu, kata mereka.
Siri ceramah berikutnya turut menampilkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang sebelum ini lantang mengkritik kerjasama Umno dan PAS.
Ceramah yang dijadual diadakan di Pendang, Kedah, Jumaat ini turut menampilkan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Reezal Merican Naina Merican.
Ketua Penerangan Umno Shamsul Anuar Nasarah berkata siri ceramah ini, yang sebelumnya bukan cara gerak kerja Umno, mendapat sambutan hangat daripada kalangan ahli Umno sendiri.
“Kalau kita ukur dari segi kehadiran orang yang hadir ceramah, bukan sahaja ahli kedua-dua parti tetapi ramai juga rakyat yang tidak berparti turut hadir.
“Kita tidak ada mengeluarkan arahan atau menyusun kehadiran dengan menyediakan bas seperti sebelum ini. Yang hadir memang atas sifat sukarela mereka sendiri.
“Ini suatu yang sangat berbeza, bukti ahli dan rakyat sudah ada kesedaran untuk menerima perpaduan dua parti Melayu Islam terbesar di negara ini,” katanya kepada The Malaysian Insight, baru-baru ini.
Ceramah seperti ini bukan budaya Umno semasa berkuasa sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, apalagi jelajah ke seluruh negara untuk menjelaskan dasar parti atau isu semasa. Ceramah seperti ini sebaliknya adalah gerak kerja PAS dan parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).
Malam esok, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang menjalan tugas presiden akan muncul sepentas bersama Presiden PAS Abdul Hadi Awang di Kuantan, Pahang.
Tambah Shamsul, penerimaan akar umbi terhadap kerjasama Umno-PAS amat memberangsangkan walaupun pimpinan parti masih dalam proses merangka bentuk kerjasama.
Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dan Idris, rakan sejawatnya daripada PAS, mengetuai jawatan kuasa teknikal bersama yang sedang merangka cadangan gerak kerja sepanjang kerjasama kedua-dua parti itu nanti.
Jawatankuasa yang ditubuhkan pada Mac lalu itu akan memuktamadkan laporan mereka minggu ini sebelum dibentang untuk dipersetujui oleh pucuk pimpinan kedua-dua parti.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata tiada arahan rasmi daripada pimpinan pusat untuk PAS Kawasan untuk mengadakan program bersama Umno Bahagian.
Ia sebaliknya inisiatif sendiri pimpinan akar umbi, katanya.
“Kita tahu kita baru bekerjasama, perlu suaikenal, selaraskan gerak kerja. Bukan soal akar umbi tidak yakin dengan kerjasama tetapi hendak membentuk momentum menyemarakkan kebangkitan.
“Siri ceramah penyatuan ummah ini juga akan membangkitkan isu-isu semasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Umno Selangor Megat Zulkarnain Omardin menyifatkan program bersama di peringkat bahagian perlu diadakan supaya kerjasama penyatuan ummah itu dapat dirasai di akar umbi.
Jelasnya, program bersama itu bukan sahaja untuk mencari keserasian, tetapi juga kelemahan yang mungkin timbul pada masa akan datang.
“Dengan bermulanya program seperti ini, kita dapat menutup ruang-ruang kecil (untuk pihak tertentu) yang cuba masuk dan menghasut untuk menggagalkan kerjasama ini. Kita dapat kenal pasti dari awal masalah-masalah yang mungkin timbul pada masa akan datang,” katanya.
Antara isu yang mungkin timbul, kata Megat, ialah soal pembahagian kerusi dalam PRU15 akan datang bagi memastikan pertandingan satu lawan satu menentang PH.
Bagaimanapun katanya, isu itu masih terlalu awal dan ia sudah tentu diserahkan atas kebijaksanaan pucuk pimpinan kedua-dua parti.
“Soal pilihan raya bukan tidak penting, bila sampai masa kita bincang. Tetapi fokus utamanya adalah penyatuan ummah. Kita tidak mahu hanya disebabkan hal-hal tertentu, kita gadaikan agama dan bangsa kita,” ujarnya. – 27 April, 2019.
Komen