TIADA pergolakan dalaman dalam Bersatu antara Pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Muhyiddin Yassin seperti yang tersebar di media sosial, kata ketua sayap wanita parti Rina Mohd Harun.
Ketua Srikandi Bersatu itu berkata, hubungan kedua-dua pemimpin utama parti itu baik sambil mengingatkan semua pihak supaya tidak sesekali cuba mewujudkan suasana tidak selesa dalam parti.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya. Tiada pergolakan, dan saya harap juga tiada pihak yang cuba mewujudkan (ketegangan dalam parti).
“Saya baru mesyuarat kabinet pagi tadi. Muhyiddin duduk sebelah Dr. Mahathir, ok sahaja macam biasa,” katanya kepada wartawan pada satu pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, petang tadi.
Sejak semalam tersebar di media sosial dakwaan kononnya mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu tegang apabila Dr Mahathir dikatakan tidak berpuas hati dengan rombakan exco kerajaan Johor yang dibuat oleh Menteri Besar Johor baharu Dr Sahruddin Jamal.
Tindakan menteri besar itu dikatakan bertentangan dengan pendirian Jemaah Menteri di Putrajaya agar barisan exco yang lepas semasa di pentadbiran bekas menteri besar Osman Sapian dikekalkan.
Desas-desus mengatakan majoriti ahli mesyuarat MPT Bersatu mempersoalkan kenapa Dr Sahruddin yang dikatakan pilihan Muhyiddin “tunduk kepada tangan ghaib” dengan melantik tiga exco baharu.
Tiga exco baharu dilantik iaitu Tosrin Jarvanthi (Bersatu-Bukit Permai), Mohd Solihan Badri (Bersatu-Tenang) dan Tan Chen Choon (DAP-Jementah).
Barisan exco baharu itu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor pada Isnin lalu di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Mesyuarat pimpinan Bersatu itu juga kemudian dikatakan memutuskan sokongan penuh terhadap pendirian Dr Mahathir bahawa semua pihak termasuk raja-raja Melayu tertakluk pada kedaulatan undang-undang.
Dr Mahathir yang sedang dalam lawatan ke China hari ini menulis di blognya mengingatkan kedudukan raja-raja di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam sistem demokrasi berparlimen raja berpelembagaan.
Beliau menerbitkan tulisan itu tidak lama selepas pergantian menteri besar di Johor dan barisan exco kerajaan negeri minggu lalu yang dikatakan dipengaruhi oleh pihak istana.
Pada 10 April lalu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar meminta “pihak tertentu” – yang dipercayai ditujukan kepada Pakatan Harapan – supaya jangan campur tangan dalam urusan Johor kerana negeri itu masih ada sultan.
Pada hari sama, Dr Mahathir membalas kenyataan itu dengan berkata bukan peranan Sultan Johor untuk memilih calon menteri besar kerana ia keputusan politik yang dibuat oleh parti pemerintah. – 24 April, 2019
Komen