Terengganu tubuh jawatankuasa khusus bantu pelaksanaan ECRL


Mohd Farhan Darwis

Jawatankuasa bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) itu untuk mempercepatkan proses penentuan jajaran dan mendapat kelulusan PBT, kata Menteri Besar Terengganu Ahmad Samuri Mokhtar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 April, 2019.

TERENGGANU menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bagi mempercepatkan proses penentuan jajaran dan mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan untuk projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dalam pertemuan dengan wakil MRL semalam, Terengganu juga dimaklumkan yang perubahan jajaran ECRL tidak banyak memberi kesan kepada negeri itu, kata Menteri Besar Ahmad Samuri Mokhtar pemberita di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, hari ini.

“Untuk (jajaran ECRL) di Terengganu memang ada sedikit perubahan daripada laluan asal, bilangan stesen pada asalnya adalah lapan namun dikurangkan kepada enam stesen.

“Jajaran laluan juga diubah sedikit ke dalam, bukan ke pantai, laluan asal tidak jauh daripada pantai, tapi penentuan terakhir perlu ada perbincangan lanjut (dengan MRL),” katanya.

Beliau berkata, pihak MRL turut memaklumkan jajaran baru ECRL di Terengganu hanya melibatkan pengurangan jarak landasan sebanyak 6km.

“Kita tubuh jawatankuasa bersama dengan mereka (MRL) bagi memperhalusi pelbagai perkara, antaranya pengambil alihan tanah, kelulusan kerja-kerja melibatkan PBT, ini semua akan dilakukan bersama dengan kerajaan negeri akan membantu untuk memudahkan prosesnya.

“Daripada titik masuk ECRL ke Terengganu di Kemaman hingga ke Kampung Raja di Besut, sempadan antara negeri Kelantan, pengurangan jarak hanya 6km.

“Jadi ia tidak melibatkan kesan yang ketara, saya mengucapkan terima kasih kerana laluan baru berbeza tetapi tidak ubah objektif asal (pembinaan ECRL),” katanya lagi.

Ahmad Samsuri berkata, daripada enam cadangan stesen yang akan dibina di Terengganu, dua stesen akan meliputi khidmat kargo dan penumpang iaitu di Chukai dan Dungun, manakala empat lagi akan beroperasi hanya untuk penumpang. 

Antara stesen lain yang akan di bina di Terengganu adalah di Kemasik, Pengkalan Berangan, Kuala Terengganu dan Kampung Raja.

Projek ECRL disambung semula selepas pemeteraian perjanjian tambahan antara MRL dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC).

Selain pengurangan kos sebanyak RM21.5 bilion, jajaran baharu ECRL kini meliputi Kota Bharu-Mentakab-Jelebu-Kuala Kelawang-Bangi/Kajang-Putrajaya sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Panjang landasan turut dikurangkan kepada 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer.

Selepas pertukaran pentadbiran di Putrajaya, Pakatan Harapan menggantung projek mega itu dan melakukan rundingan semula dengan Beijing kerana faktor kos pembinaan yang terlampau tinggi dan terma yang tidak adil untuk Malaysia.

Kos asal ECRL diumumkan Barisan Nasional adalah RM65.5 bilion, tetapi rundingan semula dilakukan PH mengurangkan kos kepada RM44 bilion.

Hasil rundingan semula juga dijangka akan meningkatkan penyertaan kontraktor tempatan sebanyak 40% berbanding 30% dalam perjanjian awal. – 24 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen