Lawatan kedua Dr Mahathir ke China untuk kikis imej 'tidak mesra' 


Lee Chi Leong

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berucap di Beijing ketika lawatannya ke China pada Ogos tahun lalu. – Gambar EPA, 24 April, 2019

APABILA Dr Mahathir Mohamad melawat Beijing hari ini untuk menghadiri sidang kemuncak One Belt One Road, China akan menjadi satu-satunya negara yang dilawat oleh perdana menteri berusia 93 tahun itu untuk kali kedua dalam tempoh kurang setahun beliau berkuasa.

Menurut penganalisis, lawatan itu merupakan masa terbaik untuk mengikis sebarang keraguan Beijing kepada keramahan Putrajaya terhadap pelabur China dan memberi isyarat jelas bahawa Pakatan Harapan bukan anti-China.

Walaupun pada awalnya terdapat keraguan oleh pelabur China terhadap kerajaan PH, hubungan dua hala yang stabil di antara kedua-dua negara hari ini adalah hasil daripada dasar yang dibina oleh dasar luar negara Dr Mahathir pada akhir 1980-an hingga awal 1990-an, kata penyelidik dari Penyelidikan Kemajuan Sosial (Refsa) Lam Choong Wah.

“Pada 1991, selepas tamat Perang Diingin, hubungan dua hala antara Malaysia dan China memasuki era baru dan kedua-dua negara memulakan hubungan komprehensif. Ini termasuk dari segi diplomasi peringkat tertinggi, kerjasama pertahanan, lawatan rasmi dan kerjasama ekonomi,” kata Lam.

Dr Mahathir juga tidak percaya dengan naratif Barat bahawa China merupakan ancaman baru, kata Lam.

“Pengganti beliau (Dr Mahathir) Abdullah Ahmad Badawi dan Najib Razak mampu meningkatkan hubungan dengan China sebahagian besarnya adalah kerana dasar yang dibuat oleh Dr Mahathir.”

Bagaimanapun, selepas PH mengambil laih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum ke 14 tahun lalu, pengumuman Dr Mahathir untuk menangguhkan beberapa projek mega yang disokong Beijing menyebabkan pelabur China mula berundur.

Malah sebelum pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, Dr Mahathir sendiri secara terbuka mengkritik projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan pembangunan Forest City di Johor – kedua-duanya merupakan prjek mega yang disokong China.

“Tetapi beliau berbuat demikian bukan kerana beliau anggap China satu ancaman tetapi kerana rasuah dan penyalahgunaan kuasa pentadbiran Najib,” kata Lam. 

“Dr Mahathir telah mengulangi sokongannya terhadap One Belt One Road dan perbincangan dengan Huawei mengenai kolaborasi antara China dan Malaysia bagi internet 5G juga tidak mempunyai sebarang masalah.”

Walaupun Dr Mahathir secara terbuka mengagumi teknologi dan nilai moral Jepun, pemimpin berusia 93 tahun itu juga mengakui fakta bahawa Jepun bukan lagi negara kuasa ekonomi sebagaimana yang pernah dikecapi negara itu dan kini ia diambil alih oleh China, kata Lam.

“Objektif utamanya dalam  lawatan itu adalah untuk memperbaiki hubungan dua hala dan juga mungkin untuk bertemu pegawai dari negara China dalam menyelesaikan beberapa isu.

“Terdapat beberapa isu antara kedua-dua negara ini, tetapi hubungan kita ini dibina atas dasar yang cukup kukuh. Tidak kira apa masalah yang mungkin dihadapi Malaysia, ia tetap mampu mempromosikan diri dan memperkukuhkan seliaan pelabur asing.”

Penasihat kanan Institut Asia-Eropah Universiti Malaya Profesor Dzulkifli Abdul Razak berkata, lawatan Dr Mahathir kali ini dibuat susulan kejayaan lawatan pertamanya Ogos tahun lalu.

“Saya berpendapat prestasi beliau (Dr Mahathir) pada lawatan sebelum ini adalah baik, Jack Ma (pengasas Alibaba) sendiri menaruh harapan tinggi terhadapnya dan Dr Mahathir dilihat memfokuskan kepada perdagangan dalam lawatan kali ini,” katanya. – 24 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen