DIBENCI di Myanmar, masyarakat Muslim Rohingya yang terdesak mencari kehidupan di India, akan diberi peringatan lagi betapa mereka tidak disukai juga di sana.
Ketika jumlah Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh daripada kekerasan tentera di Myanmar meningkat mendadak sejak 25 Ogos, kerajaan India terpaksa membawa kes itu ke mahkamah tinggi memohon untuk mengusir 40,000 yang sudah berada di negara itu sejak 10 tahun lalu.
Menurut laporan media, kerajaan itu akan berhujah yang Rohingya membawa ancaman keselamatan dan membantu pengganas.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Zeid Raad al-Hussein membantah langkah diambil oleh India itu.
Dan ramai pakai mempersoalkan ke mana India boleh menghantar Rohingya walaupun jika kerajaan mendapat sokongan mahkamah tinggi.
Nasib Rohingya di India, dan negara jiran Nepal membangkitkan kesukaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa dalam mencarikan mereka tempat tinggal jangka panjang.
Terdapat 16,000 Rohingya berdaftar di India, menurut PBB tetapi masih ramai yang tidak direkodkan.
Pegawai rasmi berkata hampir 7,000 tinggal di Jammu, di Himalaya India, di mana mereka mula tiba sejak 2008.
Jammu ialah kawasan majoriti Hindu tetapi ia berjiran dengan Kashmir, di mana India bertelagah dengan pemisah Muslim – dan ini membimbangkan kerajaan New Delhi.
Di Nepal, kira-kira 250 Rohingya tinggal di kawasan miskin di utara Kathmandu, dengan cemas menunggu berita saudara mara yang cuba melarikan diri dari Rakhine.
Nepal juga sedang cuba mencegah kemasukan lebih ramai Rohingya.
“Nepal meningkatkan pemantauan di sempadannya untuk menghalang lebih ramai Rohingya masuk ke negara itu selepas krisis di Myanmar kerana kami sudah tidak mampu menanggung lebih banyak krisis,” kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Ram Krishna Subedi. – AFP, 17 September, 2017.
Komen