Kodachrome dan fragmen sulit kehidupan 


Hadri Shah

SEKIRANYA kamu diberitahu dalam tempoh beberapa minggu lagi kamu akan mati, apa kamu nak buat?

Sembahyang? Menghabiskan masa di rumah ibadat? Mengkhatam kita suci? Bangun di satu per empat malam dan menangis mengharapkan dosa-dosa terlusuhkan? Bayar kesemua hutang bank? 

Bagi Ben Ryder, lelaki “badass” merangkap jurugambar termasyhur, usaha sebegitu tak wujud dalam rancangannya sebelum disapa malaikat maut.

Sebaliknya Ben merancang road trip – mengembara dari kota New York ke pekan Kansas untuk memproses baki filem Kodachrome terakhir miliknya sebelum satu-satunya makmal Kodachrome di Kansas menamatkan produksi. Dan kemudian, gambar-gambar hasil petikan magisnya akan dipamerkan buat kali terakhir. 

Dalam rancangan road trip nya, Ben ditemani jururawat peribadi, Zoey dan anak lelakinya Matt Ryder. 

Fikir Matt, ajakan ayahnya sangat membencikan. 

Matt tidak mahu berbuat apa-apa dengan Ben – seorang lelaki yang curang terhadap ibunya, meninggalkan keluarga, dan tidak ada ketika Matt kehilangan ibunya. Lebih teruk mereka berdua sudah tidak berkomunikasi bertahun lamanya. 

Namun, road trip anak beranak ini tetap berlangsung – dalam keadaan tegang, sinis dan dramatik semestinya. Konflik emosi anak beranak inilah yang mencipta naratif di sepanjang perjalanan beribu batu berlatarbelakangkang seleksi runut bunyi yang autentik. 

Seperti filem tipikal road trip lain, tumpuan utama ialah pada perjalanan cerita, babak-babak konflik dan hidangan perasaan kompleks manusia yang tak pernah siap. 

Inilah yang disogok Kodachrome, filem terbitan Netflix lewat tahun 2018. 

Filem arahan Mark Raso ini tidak hanya mempertaruhkan tema hubungan rapuh anak beranak, kerumitan hati dan jiwa manusia, kebahagiaan hidup dan kepentingan meluluhlusuhkan ego demi sebuah kemaafan (sifat manusia yang semakin lupus dewasa ini). 

Ia malah dipesonakan dengan pembawaan semangat dunia analog – muzik yang lebih enak didengari melalui sekeping piring hitam berbanding Spotify. Peta digunakan berbanding bergantung harap kepada GPS. Gambar lebih hebat dikaptur dalam format filem. Dan tentunya hubungan manusia lebih organik, lebih “manusia”, lebih bernilai apabila manusia bersemuka berbanding berhubung melalui aplikasi dalam talian. 

Kodachrome secara senyap-senyap mempertanyakan kembali nilai gagasan teknologi dunia digital dan signifikansinya terhadap nilai kehidupan manusia. 

Teknologi ternyata instrumen terpenting memudah urus aturan hidup manusia. Namun ia juga barangkali sebuah bencana. Banyak perkara telah dipermudahkan, senang didapati dan dimiliki menyebabkan kehidupan hari ini tidak “bernyawa”, kaku, tidak jujur dan terkadang hipokrit. 

Misalnya, manusia hari ini masih berkomunikasi. Tetapi menggunakan perantara teknologi seperti aplikasi-aplikasi perhubungan untuk berinteraksi. Emosi-perasaan ketika berhubung ditukar ganti dengan emoji. Kejujuran berkata-kata diambil alih aktiviti menaip. Dan balas-membalas pesan-pesan perbualan kadangkala tidak jelas maksudnya. 

Sedihnya, manusia barangkali dapat lepak semeja, namun yang bergerak aktif adalah jari jemari dan mata yang rakus tertumpu kepada sekeping skrin, langsung mencurangi hubungan organik manusia. 

Watak Ben menjelaskan keresahan ini. Seorang pendosa sepertinya boleh saja membuat panggilan kepada Matt untuk memohon maaf. Atau dengan cara meninggalkan teks pesanan melalui Whatsapp memohon ampun atas kesalahan lampaunya tanpa perlu bersemuka. Atau menempah tiket kapal terbang terus ke Kansas. 

Alih-alih, yang diputuskan Ben ialah mengambil jalan yang lebih panjang dan sukar, lebih bersifat analog - road trip dan kesempatan bersemuka, bercakaran dan melepaskan serta menyerap emosi-emosi bagi membereskan rasa mencuka hubungan dengan anaknya sepanjang perjalanan. 

Kehidupan hari ini dipermudahkan sampaikan nyaris tiada “cerita” wujud dalam kehidupan itu sendiri. Manusia seolah terpaksa menghebahkan kebahagiaan mereka. Gambar-gambar mereka yang dirakamkan melalui Iphone, status-status peribadi yang dimuatnaik di media sosial - ia kedengaran seperti sebuah narsistik yang menyedihkan. 

Seperti dialog Ben dalam satu babaknya berbual bersama Matt: “ramai orang mengambil lebih banyak gambar sekarang berbanding sebelum ini, berbilion-bilion daripada mereka, tetapi tiada slaid, tiada cetakan. Hanya data. Data ialah debu elektronik. Tahun dari sekarang apabila mereka menggali kembali, tiada gambar untuk dicari, tiada rekod tentang bagaiman mereka hidup”. 

Kodachrome ialah filem sederhana. Ia tidak dibikin bagi menyaingi filem-filem berbajet besar lain. Bagaimanapun ia teradun sempurna dalam kesulitan. Lagi-lagi melibatkan kerumitan hubungan manusia dan masalah-masalah mereka. Tidak dapat dipastikan sama ada Mark Raso berniat untuk mengubah dunia digital melalui filemnya. Kerana itu adalah sesuatu yang sangat mustahil. Masyarakat sejagat tidak mungkin membenarkannya. 

Walau apapun, Kodachrome berpentas di panggung menggalas tanggungjawab merakamkan kenyataan hidup yang lebih “real”, merusuh sesederhananya dalam keplastikan dunia.. 

Seperti sabdaan Ben pada akhir jam hidupnya: “No matter how good something looks, you can’t beat the real thing.” – 23 April, 2019.

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen