PUTRAJAYA meluluskan 49 projek pembangunan bernilai RM2.28 bilion di Sandakan, RM183 juta akan diberikan tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.
“Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan secukupnya di Daerah Sandakan agar pembangunan ekonomi terus berkembang sebagai salah satu pusat perniagaan yang berdaya maju di sebelah timur Negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, menjelang hari penamaan calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan pada Sabtu ini.
Lim berkata kerajaan akan terus memastikan pembangunan di Sandakan berjalan demi manfaat penduduknya.
Daerah Sandakan dengan populasi 400,000 dengan tiga kawasan Parlimen, Sandakan, Batu Sapi dan Libaran akan terus mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan, tambahnya.
Antara projek yang akan dilaksanakan di Sandakan termasuklah program tebatan banjir di Sungai Anip dengan anggaran kos RM40 juta dan peluasan Lapangan Terbang Sandakan menelan belanja RM80 juta.
“Kerajaan juga telah meluluskan projek pembesaran Lapangan Terbang Sandakan bernilai RM80 Juta melibatkan antara lain pemanjangan landasan dan penambahbaikan apron bagi meningkatkan keupayaan lapangan terbang tersebut.
“Selain itu, beberapa projek lain bagi peningkatan kedudukan ekonomi di Daerah Sandakan terus diberi penekanan merangkumi projek-projek bagi industri berasaskan minyak dan kelapa sawit serta penyediaan kemudahan jaringan pengangkutan yang bakal merancakkan lagi ekonomi setempat,” katanya.
Kerusi Parlimen Sandakan kosong selepas penyandangnya, Stephen Wong Tien Fatt daripada DAP meninggal dunia pada 28 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 27 April sebagai hari penamaan calon, hari pengundian awal pada 7 Mei dan pengundian pada 11 Mei.
Kerusi itu mempunyai 39,777 pemilih berdaftar terdiri daripada 49% Cina, Bumiputera Islam (44%) dan Bumiputera bukan Islam (6%).
DAP Sabah dijangka meletakkan calon bagi Pakatan Harapan.
Barisan Nasional (BN) semalam mengumumkan ia tidak bertanding, manakala, Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan akan bertanding untuk menentang PH. – 23 April, 2019.
Komen