-2.jpg)
MASYARAKAT dunia sekali lagi diuji dengan tragedi keganasan yang berlaku di beberapa gereja dan hotel di Sri Lanka sehingga mengorbankan kira-kira 290 nyawa serta mencederakan ramai pengunjung.
Dalam tempoh terdekat, selepas pembunuhan di dua masjid di Christchurch, New Zealand ini merupakan tindakan keganasan berulang yang menjadikan rumah ibadah dan orang awam sebagai sasaran.
Parti Amanah Negara (Amanah) mengutuk sekeras-kerasnya dan menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap tragedi hitam ini.
Walau siapa pun pelakunya dan atas apa juga motif pembunuhan ini dilakukan, sesungguhnya tiada agama terutamanya Islam yang membenarkan tindakan zalim ini daripada berlaku.
Dunia perlu segera bangkit. Mengutuk tragedi ini sahaja sudah tidak mencukupi.
Para pemimpin dunia perlu bertindak dengan lebih kuat untuk memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang lagi.
Tindakan para pengecut yang mensasarkan orang awam dan rumah ibadah perlu dibanteras sehingga ke akar umbi.
Kita bimbang, kegagalan dunia bertindak pantas membanteras keganasan ini hanya akan menyuburkan kumpulan radikal yang akan melakukan tindak balas yang serupa.
Natijahnya akan lebih memburukkan keamanan dunia dan merosakkan ekonomi yang akan memberi kesan kepada masyarakat.
Tiada ruang dan peluang untuk keganasan di atas nama agama berlaku di atas muka bumi ini. Setiap nyawa adalah berharga dan berhak dipelihara seperti yang dituntut dalam ajaran Islam dan agama-agama yang lain.
Bagi pihak Amanah, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menyatakan kesedihan bersama rakyat Malaysia terhadap warga Sri Lanka. – 22 April, 2019
* Mohamad Sabu merupakan Presiden Amanah.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen