Umno pinda perlembagaan parti November ini, kata Mohamad Hasan


SM Amin

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, Umno akan meminda perlembagaannya melalui satu mesyuarat khas selepas perhimpunan agung tahunan yang dijadual diadakan pada November ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2019.

UMNO akan meminda perlembagaannya melalui satu mesyuarat khas selepas perhimpunan agung tahunan yang dijadual diadakan pada November ini, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, pindaan tersebut antaranya bakal mempermudahkan proses permohonan keahlian Umno yang selama ini dilihat agak “ketat”, selain menetapkan status autonomi Umno di Sabah.

Jelasnya, pindaan perlembagaan ini sangat perlu kerana Umno perlu menyesuaikan parti dengan keadaan semasa bahawa parti Melayu terbesar itu bukan lagi parti pemerintah.

“Perlembagaan dahulu menghalang lebih banyak daripada membuka ruang orang untuk datang. Sekarang ini kita punya cadangan untuk kita pinda iaitu antara lainnya membuka seluas-luasnya untuk orang menjadi ahli Umno. Kita akan aktifkan Umno Online yang sudah diubahsuai kaedahnya.

“Kita juga hendak beri autonomi sepenuhnya kepada Umno Sabah yang menggambarkan situasi politik semasa di Sabah. Lebih mampan untuk jangkamasa panjang Umno Sabah diberikan autonomi sepenuhnya.

“Itu antaranya, banyak lagi pindaan perlembagaan yang perlu kita buat. Itu sebab kita perlukan satu hari tambahan untuk adakan EGM (Mesyuarat Agung Khas),” katanya selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti hari ini.

Mesyuarat MT hari ini bersetuju Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan pada 13 November depan ditambah satu hari lagi bagi memberi ruang untuk diadakan EGM tersebut.

Umno tidak tanding Sandakan

Selain itu, mesyuarat petang tadi juga memutuskan bahawa Umno tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan yang dijadualkan pada 11 Mei depan.

“Kita bincang keputusan Umno untuk tidak ambil bahagian dalam PRK Sandakan kerana Umno tidak pernah bertanding di kawasan tersebut. Selama ini diwakili komponen BN di Sabah.

“Umno tidak tanding tetapi Barisan Nasional akan bermesyuarat malam ini untuk memutuskan sama ada rakan komponen berhasrat atau berminat untuk meletakkan calon di PRK Sandakan,” ujarnya.

Pilihan raya kecil Sandakan diadakan selepas penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah merangkap Pengerusi DAP negeri meninggal dunia akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Wong mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Ming Hoo.

Beliau merampas kerusi itu daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) pada PRU13 dengan mengalahkan bekas presiden parti itu, Liew Vui Keong, yang kini menyertai Parti Warisan Sabah.  – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen