Putrajaya perlukan RM10 bilion beli tanah Kg Baru, kata menteri


Diyana Ibrahim

Putrajaya memerlukan dana sehingga RM10 bilion untuk membeli tanah di Kg Baru bagi mengekalkan statusnya sebagai rizab Melayu. – Gambar EPA, 22 April, 2019.

PUTRAJAYA memerlukan antara RM6 bilion hingga RM10 bilion untuk membeli semua tanah daripada pemilik tanah di Kg Baru supaya penempatan tanah rizab Melayu di tengah ibu kota itu boleh dibangunkan semula tanpa menghapuskan identiti dan statusnya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Keputusan kerajaan untuk membeli semua tanah dari pemilik tanah akan membolehkan kawasan itu mengekalkan status rizab Melayu, katanya.

Ia juga memastikan pembangunan semula yang lebih terancang di kawasan itu, katanya hari ini.

Dengan campur tangan kerajaan membeli tanah tersebut, ia juga boleh menghalang pemaju menjual hartanah tidak terjual kepada orang bukan Melayu.

“Cadangan kami adalah supaya kerajaan mengambil alih Kg Baru. Untuk itu, kami perlukan duit mencukupi untuk beli keseluruhan (tanah) daripada pemilik.

“Kita bangunkan tersusun bagaikan bandar baharu mengikut pelan asal. Ia akan dibangunkan secara runcit tapi kita nak kekalkan sebagai kawasan Melayu, ada rumah mampu milik, kawasan perniagaan yang boleh dikendalikan penduduk.

“Pengiraan harga bergantung kepada tawaran dan rundingan sama ada nak ambil rumah atau duit, tapi kalau semua nak amik duit, jumlah (duit) kita kena sediakan dalam RM6 hingga RM10 bilion.”

Kerajaan juga akan mempertimbangkan untuk memberikan pemilik tanah gabungan wang tunai dan apartmen.

Tentang bagaimana dana itu akan diperolehi, Khalid berkata terdapat beberapa pilihan.

Salah satunya adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengeluarkan sukuk khas, tambahnya.

“Satu lagi adalah mewujudkan syarikat bertujuan khas, yang akan membuat pinjaman dijamin DBKL untuk membiayai pembelian itu.”

Tetapi, beliau turut menyatakan yang semua ini bergantung kepada rundingan antara pemilik tanah dan bentuk pampasan yang dimahukan mereka.

Tambahnya, hampir 80% penduduk Kg Baru bersetuju dengan usaha kerajaan mengambil alih tanah mereka berbanding menjualnya kepada pihak persendirian. – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen