Jajaran baharu ECRL akan jadikan Putrajaya hab pengangkutan, kata sumber


Lee Chi Leong

Menurut sumber, jajaran baharu ECRL akan menjadikan Putrajaya hab pengangkutan utama ibu kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 April, 2019.

JAJARAN baharu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah sebahagian rancangan untuk mengubah Putrajaya menjadi hab pengangkutan, kata sumber.

Rundingan semula projek itu dengan China menyaksikan pengurangan kos kepada RM44 bilion dan meliputi jajaran yang lebih pendek meliputi kawasan baharu termasuklah Putrajaya.

Selain hentian ECRL di pusat pentadbiran negara itu, rancangan di Putrajaya turut melibatkan stesen Klia ekspres, laluan MRT2 dan wujud ura-ura mengenai pembinaan sistem monorail, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

“Mengubah jajaran ECRL akan mengubah Putrajaya menjadi hab pengangkutan.

“Dua tiga tahun lepas kerajaan Barisan Nasional terdahulu juga pernah menjalankan kajian untuk monorail. Sekarang wujud ura-ura untuk mengembalikan semula projek itu.

“Jika kita ada empat jenis pengangkutan tertumpu di sini, Putrajaya akan jadi hab pengangkutan. Kita sudah ada sistem bas,” katanya.

Pada 12 April lalu, Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) menandatangani perjanjian tambahan (SA) yang membuka jalan kepada penyambungan semula ECRL yang dikurangkan harganya.

Di bawah perjanjian baharu itu, pembinaan Fasa 1 dan 2 akan disambung dengan kos RM44 bilion, pengurangan RM21.5 bilion daripada kos asal sebanyak RM65.5 bilion.

Rel itu akan mempunyai jajaran baharu yang mengurangkan jaraknya sebanyak 40km kepada 648km serta mengurangkan kos per kilometer daripada RM98 juta kepada RM68 juta.

Menurut jajaran lama ECRL, Fasa 1 bermula dari Kota Bharu, Kelantan ke Gombak, Selangor. Fasa kedua pula melibatkan Gombak, menerusi Serendah sebelum berakhir di Pelabuhan Klang.

Jajaran baharu ECRL sebaliknya bermula dari Kota Bharu, Mentakab (Pahang), Jelebu (Negeri Sembilan, Kuala Klawang (Negeri Sembilan), Bangi/Kajang (Selangor), Putrajaya dan Pelabuhan Klang. Dua hentian kekal jajaran lama- Bentong dan Gombak- dibatalkan.

Di bawah perjanjian baharu, sebanyak 40% kontraktor terlibat perlulah dari Malaysia berbanding hanya 30% sebelum ini.

Sumber menambah yang kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk melibatkan Jelebu dan Kuala Klawang bagi pengangkutan barang dan kargo. Hentian Bangi dan Kajang pula ditambah bagi meningkatkan jumlah penumpang, katanya.

Mereka berkata kerajaan terdahulu sebaliknya mahukan Fasa kedua ECRL bermula dari Serendah, Selangor terus ke Pelabuhan Klang dengan matlamat mengurangkan kesesakan di stesen utama Kuala Lumpur.

“Jajaran utara KTM dari Thailand yang melalui Pulau Pinang, Tanjung Malim, Rawang dan Serendah sangat sibuk.

“Mengikut rancangan lama, ECRL sampai di Serendah sebelum ke Klang. Ia juga bermaksud kereta api kargo tidak perlu melalui Kuala Lumpur sebelum sampai ke Pelabuhan Klang,” katanya.

Sumber berkata jika kereta api kargo melalui Kuala Lumpur, perkhidmatan kereta api elektrik antara bandar (ETS) akan terjejas.

“Pengurangkan gerabak dari utara ini yang dipersetujui, kargo dari utara akan melalui Serendah berbanding Kuala Lumpur supaya pusat bandar tak sesak.

“Selepas Serendah, kargo dan barangan akan di hantar ke Pelabuhan Klang secara langsung,” katanya.

Tetapi dengan jajaran baharu, Kementerian Pengangkutan perlu memikirkan kaedah lain untuk mencapai matlamat pengurangan gerabak dari utara, tambahnya.

Sementara itu, Seremban akan jadi titik penyelerakan gerabak kargo dan barangan dari Johor yang akan bersesak di sana.

“Seremban adalah titik penyelerakan selatan dengan mengelakkan Kuala Lumpur tetapi jajaran baharu ECRL, titik penyelerakan baharu akan jadi di Bangi,” katanya.

“Kerajaan sudah menyelesaikan titik penyelerakan selatan, tetapi masalah titik penyelerakan utara masih belum ditangani,” tambahnya lagi. – 22 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen