MB Johor patuh Dr Mahathir atau sebelahi istana?


Mohd Farhan Darwis

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ketika majlis angkat sumpah Adun Bukit Kepong Dr Sahruddin Jamal sebagai menteri besar Johor di Istana Bukit Serene, Johor Bahru 14 April lalu. – Gambar Facebook, 21 April, 2019

PEMILIHAN barisan exco baharu Johor akan memperlihatkan sama ada Menteri Besar Dr Sahruddin Jamal bersama kerajaan pusat atau menyebelahi istana, kata sumber Bersatu negeri.

Menurut sumber, Putrajaya memutuskan barisan exco dikekalkan dan hanya satu lantikan baharu dibuat untuk menggantikan Dr Sahruddin di portfolio kesihatan, alam sekitar dan pertanian.

Jawatan itu juga perlu diisi oleh Adun Bersatu, kata sumber yang menambah perkara itu diputuskan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam satu mesyuarat Kabinet.

“Dalam mesyuarat Kabinet lepas, Dr Mahathir maklumkan jangan ada sebarang pertukaran exco, cuma ia tidak keluar dalam kenyataan media. 

“Dr Mahathir minta jangan rombak exco tetapi tambah seorang, ganti portfolio Dr Shahrudin sahaja,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Jelasnya, portfolio Sahruddin itu kosong apabila menggantikan Osman Sapian sebagai menteri besar dan juga exco hasil bumi, pentadbiran, kewangan, perancangan dan pembangunan ekonomi.

“Shahrudin akan pegang portfolio menteri besar, jadi portfolio beliau kosong. Jadi memang kena lantik seorang exco daripada Bersatu,” kata sumber yang rapat dengan pentadbiran negeri Johor.

Sumber berkata pendirian Dr Mahathir itu tidak akan ditolak kerana ingin memberi isyarat kuasa melantik exco dan menteri besar adalah hak parti dan kerajaan memerintah.

Namun, Istana Johor dilaporkan berhasrat agar dua ahli exco digugurkan – Mazlan Bujang (kerja raya, infrastruktur dan pengangkutan) dan Tan Hong Pin (kerajaan tempatan, sains dan teknologi).

Mengulas lanjut, sumber berkata, ia dibimbangi akan melemahkan hak badan eksekutif untuk melantik menteri besar.

“Kalau istana berjaya beri arahan untuk merombak barisan exco dan menteri besar patuh, ia akan jadi kes duluan, yang mana kuasa (istana) melangkaui kuasa eksekutif,” kata sumber lagi.

Istana Johor dilaporkan berhasrat agar dua ahli exco digugurkan – Mazlan Bujang (kerja raya, infrastruktur dan pengangkutan) dan Tan Hong Ping (kerajaan tempatan, sains dan teknologi). – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

Sumber juga menyebut, antara sebab yang mungkin menyebabkan istana mahu Mazlan digugurkan adalah kerana Adun Puteri Wangsa itu dilihat lebih menyebelahi kerajaan Pusat.

“Mazlan ini orang yang dilihat dalam mesyuarat exco pro kepada kerajaan pusat. Beliau secara terang-terangan menunjukkan sokongan kepada kerajaan pusat dalam banyak perkara. 

“Mungkin itu faktor istana tak mahu beliau lagi,” kata sumber lagi.

Jelasnya, penolakan itu menunjukkan istana tidak berkenan dengan pemimpin yang menyokong pentadbiran Dr Mahathir.

“Bermaksud istana tak mahu mereka yang pro pimpinan perdana menteri sekarang sedangkan ia (keputusan melantik exco) ditentukan kerajaan pusat,” katanya lagi.

Mazlan juga difahamkan antara pemimpin Bersatu yang menerima sokongan majoriti daripada pimpinan Bahagian parti itu di Johor.

Sekiranya beliau digugurkan daripada kedudukan exco, dikhuatiri penentangan akan berlaku terhadap Dr Sahruddin yang tidak mempunyai kekuatan akar umbi.

Seorang lagi yang didakwa tidak diperkenan oleh sultan Johor, Tan Hong Pin juga beberapa kali bergeser dengan istana.

Antaranya ekoran tindakan ahli majlis yang mengeluarkan surat rasmi kerajaan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris. Adun Skudai itu terpaksa memohon maaf secara terbuka atas insiden tersebut.

Setiausaha DAP Johor itu sekali lagi tampil memohon maaf apabila ahli majlis kerajaan tempatan mengkritik istana Johor kerana menukar status Pulau Kukup menjadi tanah kesultanan.

Isu status tanah Pulau Kukup itu merupakan salah satu titik pertentangan di antara pentadbiran Dr Mahathir dan istana Johor yang berlarutan sejak tahun 1990-an.

Seorang lagi yang didakwa tidak diperkenan oleh sultan Johor, Tan Hong Pin juga beberapa kali bergeser dengan istana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 April, 2019.

Oleh itu, keputusan Dr Sahruddin dalam pelantikan barisan exco baharu bakal menyaksikan sejauh mana beliau mematuhi keputusan pimpinan PH, kata sumber.

Beliau memberi amaran, Dr Sahruddin juga akan mengalami nasib sama seperti Osman, yang terpaksa meletak jawatan dalam masa kurang satu tahun selepas dilantik menjadi menteri besar.

“Kenyataan yang bakal dikeluarkan Dr Sahruddin sama ada rombak barisan exco atau tidak, buang Tan dan Mazlan atau tidak, ia akan memperlihatkan beliau sebelahi kerajaan pusat seperti yang dimahukan pimpinan Bersatu waktu tukar Osman.

“Atau sekiranya beliau teruskan legasi Osman dan beliau akan berhadapan risiko sama seperti dilalui Osman,” kata sumber lagi.

Menurutnya, perkara itu mungkin dapat diketahui esok apabila Dr Sahruddin mengadakan perjumpaan dengan para Adun di Kota Iskandar.

“(Isnin) pagi beliau akan berjumpa dengan Adun di Kota Iskandar. Sama ada isu ini akan diselesaikan di sana atau tidak, kita tak tahu.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Dr Sahruddin hari ini turut mengadakan pertemuan dengan istana Johor hari ini, dipercayai berkaitan pelantikan exco negeri itu. – 21 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen