Bekas pembantu Najib siar video perbicaraan ke Bukit Aman minggu depan


Bekas pegawai khas Najib Razak, Hizatul Isham Abdul Jalil mempertahankan dirinya dan berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan memuat naik video perbicaraan itu. – Gambar YouTube, 21 April, 2019.

BEKAS pembantu Najib Razak, Isham Jalil berkata beliau akan ke Bukit Aman minggu depan untuk memberi keterangan berhubung tindakannya memuat naik satu video perbicaraan kes bekas perdana pada awal minggu ini.

Isham bagaimanapun tidak mendedahkan bila beliau akan ke ibu pejabat polis itu.

“Saya dimaklumkan bahawa tiada laporan polis dibuat setakat petang semalam berhubung video yang dimuat naik saya. Oleh itu pihak polis mungkin telah diarah untuk membuat siasatan terbuka tanpa ada laporan polis.

“Saya akan memberi kerjasama sebab saya faham bahawa pihak polis hanya menjalankan tugas mereka, dan saya juga pernah berkhidmat bersama-sama mereka semasa bertahun-tahun saya dalam kerajaan dahulu.

“Minggu depan saya akan ke Bukit Aman untuk membuat kenyataan,” katanya menerusi laman Facebook hari ini.

Isham sekali lagi mempertahankan dirinya dan berkata beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dengan memuat naik video perbicaraan itu.

“Jika ianya dokumen rahsia, mana mungkin ada borang untuk orang awam memohonnya dan bayar CD RM10 sekeping untuk membelinya.

“Sesiapa sahaja boleh membuat atau menulis akujanji di atas borang tetapi ini tidak bermakna ia menjadi undang-undang atau peraturan undang-undang.

“Akujanji bukanlah undang-undang atau peraturan undang-undang mahkamah,” katanya.

Polis membuka kertas siasatan terhadap penyebaran video klip kamera litar tertutup  (CCTV) yang merakamkan perbicaraan Najib berhubung kes penyelewengan dana SRC International.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata siasatan itu dibuat susulan satu laporan di balai polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Pada Sabtu, video selama 2 minit 12 saat bertajuk ‘Perbicaraan hari kelima Najib Razak’ menunjukkan peguamnya, Muhammad Shafee Abdullah menyoal seorang saksi, tersebar dalam media sosial.

Video itu yang dimuat naik oleh Isham sudah ditonton 227,000 kali dan dikongsi sebanyak 3,700 oleh pengguna Facebook selain mendapat lebih 1,900 komen. – 21 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen