Memerangi politik golongan elit bangsawan


SYED Hussein Alatas, seorang sarjana terkemuka negara, telah menerangkan mengenai psikologi feudal yang masih wujud dalam kalangan orang Melayu. Meskipun secara zahirnya ia tidak lagi diamalkan secara struktural dalam sistem politik, ekonomi dan sosial bangsa, tetapi ia tetap wujud dan signifikan. Beliau memanggilnya sebagai psychological feudalism yang merupakan asas kepada hubungan antara golongan elit bangsawan dengan pengikut mereka.

Tidak kisahlah sama ada pengikut itu seorang peniaga, ahli politik mahupun cendekiawan, golongan elit dan bangsawan mengharapkan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka. Kadangkala, hubungan seakan ini bertentangan dengan norma-norma nilai dan moral masyarakat Malaysia dan agama.

Umum mungkin merasakan tidak mustahil pada zaman moden ini, wujud lagi golongan elit bangsawan yang mempunyai psikologi feudal yang tertawan, terutamanya dalam parti United Malays National Organisation (Umno). Golongan ini telah membeli individu-individu politik dalam parti, ketua-ketua bahagian, ahli-ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri hanya untuk meraih sokongan terhadap agenda peribadi mereka, dan bukan untuk tujuan yang merakyat dan berkepentingan umum.

Maka mereka yang dibeli ini secara langsung akan mencurahkan segala kesetiaan kepada golongan elit bangsawan, sepertimana setianya Bendahara Seri Maharaja kepada Sultan Mahmud Shah, meskipun pada saat maut tiba di hadapan pintu rumahnya.

Mereka ini diangkat-angkat dan dikagumi dek kerana sejarah keluarga, wang dan pengaruh. Bukan pada undi dan kepercayaan rakyat kebanyakan kepadanya. Mereka mungkin cucu kepada seorang nasionalis, atau anak kepada seorang politikus pendukung bangsa.

Walaupun masa sudah berubah, dan kehendak kepimpinan untuk mentadbir Umno ini semakin rumit, mereka masih bergantung sepenuhnya kepada aspek-aspek picisan yang lain dan bukan pada merit diri sendiri untuk kekal relevan.

Ditambah pula dengan sumber kewangan yang tidak terbatas dan rakan yang berkocek tebal, merekalah golongan yang paling berpengaruh dalam parti, meskipun mereka kecil dan tidak banyak jumlahnya.

Oleh yang demikian, golongan ini berkemampuan untuk menyusun peristiwa-peristiwa penting dalam parti mahupun negara, demi percaturan dan permainan politik peribadi mereka. Ini dibantu pula oleh aktor-aktor politik lain yang dipujuk dan disogok dengan habuan yang pelbagai.

Golongan tidak berjuang

Kita harus ingat, golongan elit bangsawan ini tidak berjuang untuk parti mahupun bangsa. Mereka hanya mahu mengejar kuasa. Mereka sudah biasa dengan kemewahan dan tidak pernah merasa penat serta lelah. Merekalah punca kepada ‘tangan-tangan ghaib’ yang tidak putus mengatur langkah memporak-perandakan dan merosakkan momentum parti sekarang.

Tatkala orang Melayu masih memerlukan sosok pemimpin Melayu yang berwibawa dan bercitra baharu, golongan elit bangsawan merasakan tidak ada sesiapa yang layak untuk mengambil gelaran demikian kecuali diri mereka sendiri. Maka segala usaha dilakukan untuk memastikan tampuk kekuasaan akhirnya mesti menjadi milik mereka jua.

Golongan elit bangsawan sanggup mengorbankan kredibiliti Umno dan ahli-ahlinya untuk kepentingan peribadi. ‘Tangan-tangan ghaib’ yang mereka upah dan beli juga memainkan peranan yang besar di peringkat akar umbi untuk meracuni pemikiran ahli serta menyebarkan fitnah, atas arahan golongan ini.

Merekalah gunting dalam lipatan, api dalam sekam yang bakal, sekali lagi, merosakkan parti dari dalam lalu mengorbankan orang-orang yang jujur dan ikhlas dalam perjuangan.

Akhiri politik naungan golongan bangsawan

Untuk Umno bergerak maju ke hadapan, ia harus berani dan berpendirian dalam mengenepikan pengaruh golongan elit bangsawan. Antara ukuran kejayaan agenda mereformasi Umno ialah kurangnya golongan ini dalam parti, di semua peringkat kepimpinan. Politik naungan yang mereka kepalai harus dihapuskan.

Dalam perjuangan nasionalisme Melayu, tidak pernah bangsa kita menjual harga diri, kesetiaan dan prinsip demi sedikit imbuhan material. Perjuangan haruslah berpandukan ideologi dan bertunjangkan keikhlasan.

Percayalah, politik Melayu dan Islam hanya akan kembali diyakini serta dihormati, jika Umno menyuburkan semula politik orang kebanyakan, dan bukan politik golongan elit dan kaya. Mereka ini adalah career politicians yang menganggap bahawa masalah hanya akan selesai dengan wang dan pengaruh.

Umno adalah milik orang Melayu. Orang Melayu yang terpinggir, yang miskin, sakit dan dizalimi. Parti ini tidak seharusnya menjadi barang taruhan golongan elit bangsawan. Dipermainkan dan disepak-sepak hanya untuk merealisasi impian politik peribadi.

Di Indonesia, Presiden republik itu anak seorang tukang kayu. Jika seseorang dengan asal usul yang begitu boleh menjadi ketua negara, maka semua yang bercita-cita tinggi dan berwibawa juga boleh.

Namun Umno harus membudayakan norma politik baharu, iaitu parti dan perjuangannya adalah milik rakyat dan orang biasa-biasa. Bukan milik mereka yang berasal dari keluarga dan nasab yang tertentu sahaja.

Kekal dan teguhlah berdiri di belakang pemimpin yang tidak lahir dari keluarga berada dan berpengaruh.

Kekal dan teguhlah berdiri di belakang pemimpin yang tidak ada kepentingan peribadi dan bercita-cita politik menggunung, lalu sanggup menggunakan jalan belakang demi meraih kuasa dan pengaruh.

Kekal dan teguhlah berdiri di belakang pemimpin yang dipilih kerana merit dan prestasi.

Semangat nasionalisme baharu orang Melayu tidak dapat direkayasa dengan sepenuhnya jika Umno tidak kembali kepada hati nurani orang Melayu. Untuk lakukan yang demikian, politik golongan elit bangsawan harus diperangi sehabis-habisnya! – 21 April, 2019

 

* Abdullah Ilham merupakan pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen