Sinema kosong jiwa tempatan


Haris Hauzah

PADA tahun 2009, filem Kasi az Gorbehaye Irani Khabar Nadareh atau No One Knows About Persian Cats difatwakan haram oleh kerajaan Republik Islam Iran. Filem arahan Bahman Ghobadi itu semasa ditayang di Pesta Filem Cannes dinobatkan sebagai penerima anugerah khas juri. Ini tentunya suatu kejayaan yang membanggakan.

Kerajaan Republik Islam Iran yang sememangnya diketahui kuat berpegang pada dasar dan polisi kebudayaan yang sungguh menitik beratkan persoalan akhlak tidak mengambil masa lama untuk memutuskan pengharaman itu.

Walaupun filem No One Knows About Persian Cats tidak dapat ditayangkan di negaranya sendiri di Iran, namun ia mendapat sekian banyak perhatian di beberapa buah pesta filem antarabangsa dunia seperti di Montreal, Berlin dan Mumbai, termasuk diangkat di Nuremberg dan London.

Namun ada yang berpendapat kejayaan itu ada kaitannya dengan pergolakan politik yang sedang hangat pada waktu itu.

Pertembungan karyawan filem Iran yang dikatakan menganut fahaman politik plural-liberalis dan sekular seperti Bahman Ghobadi tentu saja dirasakan perlu disekat oleh pejuang konservatif wilayatul faqeh Republik Islam Iran. Malahan ada tuduhan bahawa calon presiden iaitu ketua gerakan politik reformasi Mir Houssein Mousavi dikaitkan dengan beberapa karyawan filem seperti Mohsen Makhmalbaf, Narges Kalhor, Jafar Panahi dan Manijeh Hekmat.

Pandangan ini belum tentu benar walau tidak sepenuhnya salah. Filem No One Knows About Persian Cats mengangkat kisah survival gerakan muzik bawah tanah di tengah Tehran. Ia tentang bagaimana sekumpulan pemuda dan pemudi Iran yang mahu keluar dari tradisi muzik lama dengan memperjuangkan suatu jenis muzik yang dianggap taboo dan larangan.

Sebagaimana banyak filem-filem hebat Iran seperti Taste of Cherry oleh Abbas Kiarostami, Children of Heaven oleh Majid Majidi atau The Salesman dan A Separation oleh Asghar Farhadi, semuanya mengguna pakai kaedah pendekatan sinema yang sama, iaitu resam kebudayaan dalam masyarakat yang diresapkan menjadi suatu yang boleh diistilahkan sebagai “sastera sinema” pada penceritaan.

Tidak hanya sinema Iran, para pengkarya dari dunia sinema Asia Timur seperti China, Hong Kong, Korea dan Jepun juga memiliki kekuatan serupa dalam memposisikan kekayaan resam kebudayaan masyarakat terbanyak dan diresapkan ke dalam karya mereka.

Campur tangan idea dan pemikiran asing ke dalam sesebuah karya hanya akan menghasilkan satu beban ambiguiti yang berat pada karya yang dihasilkan. Ia sekaligus dengan mudah berupaya menghilangkan keindahan umbi dunia sinema tempatan, dalam konteks ini sinema Malaysia, dengan memberikan imej dan gambaran besar bahawa filem yang ditonton tadi adalah misalnya sebuah filem ala Hong Kong. Adakalanya ia menjadi sebuah filem bergaya hidup Amerika yang jauh dari roh dan perasaan perfileman tempatan.

Bahman Ghobadi sewaktu menghasilkan filem No One Knows About Persian Cats sungguh mengetahui dan amat memahami akan hal ini. Beliau yang faham akan tradisi dan kebudayaan sosial serta tradisi politik dan budaya negaranya telah memanafaatkan sentimen kebencian terhadap apa jua produk yang datang dari Amerika termasuk muzik – yang mahu filem ini tonjolkan. Kebencian itu beliau manipulasi dalam suatu gaya “sastera sinema” yang sungguh berperibadi dan beridentitikan Iran. Keseronokan menontonnya sebagai sebuah filem Iran adalah sesuatu yang mengejutkan dan sungguh menyentuh perasaan.

Tugas mengangkat kisah anak-anak muda yang telah dibeli jiwa dan semangat muziknya oleh Amerika di tengah kota Tehran tentunya sesuatu yang agak payah untuk dibayangkan. Lalu kepayahan untuk membayangkan itulah yang sering menjerumuskan para pengkarya dan karya kita jatuh ke lembah ambiguiti – karya yang kabur dari aspek budaya dan tradisi kemalaysiaan.

Kita tentunya boleh berterima kasih pada nama-nama seperti Uwei Hj Saari, Sabri Yunus dan Mamat Khalid kerana mereka memperkayakan dunia sinema kita dengan aspek perfileman “sastera sinema”, sesuatu yang sering pengarah muda abaikan.

Malah keindahan puitis “sastera sinema” ini juga dapat dilihat pada kerja-kerja filem Yasmin Ahmad, Namron, Al Jafree Md Yusop, Dain Said, Ho Yuhang dan Liew Seng Tat. Nasir Jani juga sewaktu menghasilkan filem Kembara Seniman Jalanan berjaya memberikan keseronokan peribadi yang sangat dekat dengan persekitaran hidup pada visual dan babak-babak indah yang berperasaan tempatan.

Filem-filem yang memilih untuk nihil epistemologi iaitu kosong teori-teori tentang ilmu pengetahuan sosial, politik dan kebudayaan dunia tempat filem itu dihasilkan adalah sesuatu yang dangkal dan amat merugikan.

Filem yang dihasilkan tidak seharusnya menjarakkan jiwa dan perasaan penonton terhadap momen-momen keseronokan sewaktu menangkap keindahan filem yang seharusnya memberi seronok dan menghiburkan.

Keterujaan para pengkarya kita untuk menghasilkan karya-karya yang penuh kelainan, luar kotak dan lain dari kebiasaan seharusnya perlu bebas dari gejala peniruan yang terang-terangan sehingga penonton tidak lagi merasa dekat dengan karya-karya tempatan yang dihasilkan.

Filem dibuat dan dihasilkan bukan untuk dilupakan, tetapi adalah untuk masyarakat sedar dan kenang bahawa mereka ada tradisi dan budaya sendiri yang harus dijaga dan dikekalkan walaupun teruk jiwa dan perasaan cuba dijajah, sebagaimana yang cuba Bahman Ghobadi bawakan dalam No One Knows About Persian Cats. – 21 April, 2019

 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

* Haris Hauzah, pengamat filem dan Ahli Sidang Utama Komuniti Filem Titiwangsar (Komfit).


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen