PEMBUKAAN perbicaraan Najib Razak adalah yang pertama bagi rakyat Malaysia, yang tidak pernah melihat perdana menteri, bekas atau penyandang jawatan itu, dibawa ke mahkamah untuk menjawab tuduhan jenayah. Tetapi itu hanya minggu permulaan kepada pendedahan demi pendedahan, antara yang paling menarik adalah dakwaan terhadap tabiat berbelanja tertuduh seperti yang dapat dlihat menerusi banyak cek yang didakwa dikeluarkan beliau kepada semua orang dari tukang paip hinggalah kepada penyokong politiknya.
Turut pendedahan adalah cek bernilai RM156,500 yang dikeluarkan dari akaun AmBank milik bekas perdana menteri itu untuk membiayai kerja pengubahsuaian di kediaman peribadinya di Kuala Lumpur.
Pihak pendakwaan memangil dua kontraktor, pereka kabinet dapur dalaman dan pakar paip, sebagai saksi keenam dan ketujuh perbicaraan.
Mereka memberi keterangan bahawa mereka dibayar pada awal 2015 untuk menjalankan kerja pengubahsuaian dan pembinaan, antara lain, kabinet, stor untuk pakaian dan tangki air besar bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang berlaku di kediaman Najib di Langgak Duta.
Kedua-dua mereka disoal oleh peguam pembelaan untuk menerangkan mengenai ruang berkenaan, yang menurut mereka ianya besar dan kadangkala digunakan untuk majlis. Kedua-dua mereka memberi keterangan bahawa pengurus kediaman bernama Amirul merupakan antara penjaga mereka.
Pegawai pemproses cek AmBank turut memberi keterangan bahawa 15 cek bernilai RM10.77 juta dikeluarkan dari dua akaun bank milik Najib, untuk peguam, penyokong dan operasi politik.
Ia termasuk cek RM3.5 juta yang dikeluarkan kepada firma guaman milik peguam Umno Mohd Hafarizam Harun, yang didakwa pada Februari lalu atas tuduhan terbabit dengan pengubahan wang haram RM15 juta.
Cek lain RM2.5 juta dikeluarkan keepada firma guaman Zulqarnain and Co, RM1 juta untuk jawatankuasa perhubungan Umno Pulau Pinang, RM1 juat untuk parti komponen Barisan Nasional Sabah, Upko dan RM300,000 untuk Umno bahagian Johor Bahru.
Turut diserahkan sebagai bukti adalah dua cek RM20 juta yang dikeluarkan oleh SRC International kepada Ihsan Perdana pada 12 Disember, 2014.
SRC ditubuhkan pada 2011 untuk meneroka pelaburan strategik antarabangsa dalam bidang tenaga.
Ia merupakan anak syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebelum diletakkan di bawah Kementerian Kewangan yang ketika itu diterajui oleh Najib, yang juga merupakan menteri kewangan.
Peguam bela Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita pada Isnin yang Najib mungkin tidak tahu wang yang dimasukkan ke akaunnya adalah dari sumber haram, dan menambah bekas menteri kewangan itu “mungkin tidak mendapat gambaran sebenar” kesemua transaksi melibatkan akaun banknya.
Tambah Shafee, ia pihak pendakwaan perlu membuktikan Najib terlibat dalam sebagarang salah laku. Ini diakui oleh Peguam Negara Tommy Thomas, yang yang mengatakan pihak pendakwa mempunyai “beban bukti” dan kes mereka sedang “dipadamkan” oleh bantahan awal pihak pembelaan, yang berusaha untuk menghalang kontraktor kabinet dapur dari memberi keterangan.
Tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah
Undang-undang jenayah Malaysia beroperasi atas anggapan prinsip tidak bersalah; iaitu, tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga terbukti bersalah.
“Ianya bukan untuk pihak pembelaan membuktikan tidak bersalah,” kata peguam jenayah Rajsurian Pillai.
“Najib dan pasukan peguamnya boleh terus berdiam untuk seluruh kes dan masih tidak bersalah kerana pihak pembelaan perlu lakukan adalah menimbulkan keraguan munasabah dalam apa yang cuba dibuktikan pihak pendakwaan.”

Bagaimanapun penafian pengetahuan mengenai aktiviti pengubahan wang haram, biasanya tidak cukup untuk bebas daripada dakwaan, kata Rajsurian.
Pada minggu akan datang, pihak pendakwaan akan terus membawa saksi mereka, yang dilaporkan seramai 50 orang, untuk mengukuhkan dakwaan mereka.
Saksi terbabit akan melalui pemeriksaan oleh pihak pendakwaan diikuti pemeriksaan balas oleh pihak pembelaan. Pendakwaan kemudian akan memeriksa sekali lagi apa yang sudah diperiksa balas.
Pada akhir kes pendakwa raya awam, hakim kemudiannya akan memutuskan sama ada terdapat kes prima facie terhadap Najib. Sekiranya ada, Najib akan diminta membela diri.
“Pembelaan kemudiannya akan memanggil saksi mereka, yang akan dibuat pemeriksaan balas oleh pendakwaan dan pemeriksaan semula oleh pembelaan,” kata Rajsurian.
“Di akhir kes pembelaan, kedua-dua pihak akan menghantar kepada mahkamah sama ada Najib bersalah melakukan jenayah yang berjaya dibuktikan tanpa keraguan munasabah.
“Sekiranya terbukti, Najib akan didapati bersalah. Dan sekiranya tidak dapat dibuktikan, Najib akan dibebaskan,” katanya.
Rayuan masih boleh dibuat selepas keputusan mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, hakim boleh mengekalkan keputusan sehingga rayuan ditolak di mahkamah lebih tinggi.
Perbicaraan Najib bersambung pada Isnin. – 21 April, 2019
Komen