JUMLAH rasuah yang mereka terima bukanlah banyak, daripada serendah RM100 hingga RM1,000.
Bagaimanapun, enam pegawai rendah Jabatan Imigresen Sarawak terpaksa membayar harga yang tinggi selepas mereka didakwa hari ini, di Mahkamah Khas Rasuah Kuching kerana menerima rasuah atas tindakan melepaskan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau permit kerja sah memasuki negeri.
Mereka mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin serta seorang penjamin. Mereka kini menghadapi hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Enam pegawai berkenaan adalah Agnes James Daim, 42; Gracy Bohan, 32; Norhaliza Hussein, 33; Emily Ngayan Beliang, 36; Benjamin Morsit, 33 dan Khairul Nizam Omar, 41.
Agnes, yang didakwa menerima rasuah RM200 pada malam Krismas tahun lepas, dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah sebanyak RM6,000; Gracy, yang didakwa dengan dua tuduhan menerima rasuah sebanyak RM100 pada 22 April tahun lepas dan RM100 lagi pada Hari Krismas, dibebaskan dengan ikat jamin RM7,000.
Norhaliza dibebaskan dengan ikat jamin RM6,000 kerana menerima rasuah sebanyak RM500 pada 27 Disember tahun lepas, Emily juga dengan ikat jamin RM6,000 kerana menerima rasuah RM300 pada 6 Januari tahun ini manakala Benjamin menerima RM200 pada 13 Disember tahun lepas dilepaskan dengan ikat jamin RM5,000.
Khairul Nizam, yang didakwa menerima rasuah sebanyak RM1,000 pada 19 Disember tahun lalu dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000.
Mereka adalah antara 11 pegawai Jabatan Imigresen Sarawak yang ditahan dalam serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 15 Mac.
Mereka ditahan di ibu pejabat Imigresen Sarawak di Jalan Simpang Tiga, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Pejabat Imigresen Pending dan Depot Tahanan Sementara Imigresen Semuja.
Pengarah Siasatan SPRM Simi Abdul Ghani selepas tangkapan katanya melihat kemasukan pekerja asing tanpa izin sebagai ancaman kepada keselamatan awam dan keselamatan negara. – 10 April, 2017.
Komen