MENTERI Besar Johor Dr Sahruddin Jamal kini berdepan cabaran pertama pentadbirannya selepas dilantik menggantikan Osman Sapian.
Dr Sahruddin perlu merombak barisan ahli mahlis kerajaan negeri Johor – satu tugas sukar kerana beliau berisiko menerima tentangan jika mengugurkan exco popular.
Sumber berkata, exco yang dimaksudkan adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan Mazlan Bujang, salah seorang pemimpin Bersatu yang popular di Johor.
Mazlan disebut-sebut sebagai salah seorang pemimpin yang dilaporkan bakal digugurkan kerana didakwa tidak diperkenan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
“Kalau gugurkan Mazlan, menteri besar akan kehilangan sokongan dan tidak mustahil akan berlaku penentangan kerana ketua-ketua bahagian majoritinya bersama Mazlan.
“Menteri besar orang baru dalam politik, tidak ada sokongan lagi daripada akar umbi Bersatu,” kata sumber parti yang tidak mahu identitinya diketahui umum.
Difahamkan, bentuk sokongan itu mungkin ditunjukkan dalam pemilihan parti Bersatu yang dijangka akan diadakan menjelang akhir tahun ini.
Mengulas lanjut, sumber Bersatu Johor berkata, Mazlan yang juga Adun Puteri Wangsa menerima sokongan kira-kira 20 daripada 26 ketua bahagian Bersatu di negeri itu.
“Bahagian yang diwakili Mazlan merupakan antara lima bahagian Bersatu yang paling aktif dan antara mempunyai keahlian paling ramai di dalam negara.
“Jadi, sokongan kepada Mazlan sangat kuat, itu menyukarkan menteri besar untuk menggugurkan Mazlan daripada kedudukan exco,” katanya.

Sumber tidak menolak andaian jika Mazlan akan terus dikekalkan Dr Sahruddin atas dasar itu.
“Kalau nak gugurkan Mazlan perlu ada alasan kukuh, takkan hanya sebab istana tidak suka dia perlu digugurkan, mesti kena ada sebab lain, isu prestasi atau sebagainya,” tambah sumber itu lagi.
Difahamkan, rombakan exco itu merupakan syarat yang ditetapkan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum memperkenan pelantikan Dr Sahruddin sebagai menteri besar.
Kalangan parti komponen Pakatan Harapan (PH) Johor pula difahamkan mahu Dr Sahruddin mengekalkan barisan sedia ada dan hanya melantik exco baru bagi mengisi kekosongan.
Salah satu jawatan yang dijangka boleh digantikan adalah jawatan Osman, sebagai exco hasil bumi, pentadbiran, kewangan, perancangan dan pembangunan ekonomi.
Satu lagi adalah jawatan Dr Sahruddin sendiri yang mengetuai porfolio kesihatan, alam sekitar dan pertanian.
Seorang lagi exco yang disebut-sebut akan digugurkan adalah Tan Hong Ping yang mengetuai portfolio jawatankuasa kerajaan tempatan, sains dan teknologi.
Beliau beberapa kali bergeser dengan istana Johor, antaranya ekoran tindakan ahli majlis di negeri itu yang mengeluarkan surat rasmi kerajaan dalam bahasa Mandarin dan Inggeris.
Tan terpaksa memohon maaf secara terbuka atas insiden tersebut, dan sekali lagi apabila ahli majlis kerajaan tempatan mengkritik istana Johor kerana menukar status Pulau Kukup menjadi tanah kesultanan.
Terdahulu semasa masih menjadi Adun pembangkang, Tan pada 2017 membantah kenyataan Sultan Johor yang melarang persidangan Dun disiarkan secara langsung.
Pada Rabu lalu, Tan dilaporkan akan menyerahkan nasibnya kepada pemimpin DAP dan tidak mengetahui alasan yang membolehkan beliau digugurkan.
Dr Sahruddin pula sebaik mengangkat sumpah menjadi menteri besar Johor yang ke-17 menyatakan ikrar untuk mengutamakan kepentingan negeri itu berbanding kepentingan politik dan peribadi.
Ia bagi mentaati titah Sultan Johor supaya menteri besar baharu memastikan kerajaan negeri tidak membuang masa bercakap dan memfitnah orang lain. – 21 April, 2019.
Komen