Kerajaan Pulau Pinang buru suspek buang sisa binaan ke laut


Looi Sue-Chern

Rakaman video dua lelaki membuang sisa bahan binaan ke laut di Jalan Farquhar, Georgetown, Pulau Pinang, semalam tular di media sosial. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 April, 2019.

KIRA-KIRA pukul 2 petang semalam, dua lelaki dirakam membuang sisa bahan binaan  ke laut dari sebuah tempat letak kereta di Jalan Farquhar, Georgetown, Pulau Pinang.

Video itu kemudiannya tular dan sampai ke pengetahuan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MBPP) dan kerajaan negeri yang marah dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Pihak berkuasa tidak mengambil masa lama untuk mengesan kedua-dua pelaku menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik majlis perbandaran yang merakam nombor pendaftaran lori terbabit.

CCTV turut merakamkan muka seorang daripada lelaki tersebut yang merupakan pemandu apabila tingkap lorinya diturunkan ketika dia membayar tiket parkir ketika meninggalkan tempat letak kereta itu.

“Kita memandang serius perkara ini. Semalam MBPP sudah membuat laporan polis,” kata exco kerajaan negeri Jagdeep Singh Deo pada satu sidang media hari ini.

Beliau berkata perbuatan dua lelaki itu tidak boleh diterima di sebuah negeri yang mensasarkan untuk menjadi bersih, hijau dan selamat.

Beliau memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil.

“Membuang sisa buangan ke laut merupakan satu kesalahan. Kita boleh mengambil tindakan di bawah beberapa undang-undang seperti Akta Kualiti Alam Sekitar, Akta Kerajaan Tempatan dan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

“Kita meminta polis untuk menyiasat perkara ini secepat mungkin agar individu yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan. Kita juga mahu perkara ini menjadi pengajaran dan amaran kepada orang lain.

“Kita bukannya tidak ada tapak pembuangan sisa pepejal untuk sisa bahan buangan pembinaan yang sepatutnya diuruskan dengan baik,” katanya.

Jagdeep turut mengingatkan penduduk Pulau Pinang bahawa beratus CCTV dipasang di seluruh negeri untuk meningkatkan tahap keselamatan dan mencegah jenayah.

“Menjelang bulan depan, kita akan mempunyai 1,100 CCTV di pulau dan seberang,” katanya.

Beliau juga menggesa orang ramai agar memaklumkan pihak berkuasa jika mempunyai maklumat tentang pembuangan sisa secara haram selain pemantauan dari polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan.  – 20 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen