FELDA akan diuruskan sebagai sebuah estet besar melalui penggabungan ladang peneroka, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, unit yang akan diuruskan oleh penanam kelapa sawit profesional itu akan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh agensi berkenaan.
“Kita akan gabungkan semua ladang peneroka dan uruskannya sebagai sebuah estet yang besar.
“Ia satu unit yang akan diwujudkan penanam (kelapa sawit) profesional, jadi itu akan selesaikan masalah berkaitan kelapa sawit,” kata Dr Mahathir dalam sidang media di ibu negara hari ini.
Dr Mahathir berkata, kilang kelapa sawit swasta juga tidak lagi dibenarkan mengambil hasil tuaian peneroka untuk membolehkannya dijual kepada Felda.
Jelas perdana menteri, walaupun kilang swasta mengambil hasil tuaian denga harga lebih tinggi, peneroka seharusnya menjual kelapa sawit kepada Felda.
Ini bagi membolehkan hasil berkenaan digunakan untuk membayar hutang kepada agensi tersebut, katanya lagi.
“Kita akan hantar notis kepada kilang, mereka tidak boleh terima kelapa sawit daripada Felda kerana ianya dicuri daripada ladang Felda,” kata Dr Mahathir.
“Ada kilang yang membayar harga tinggi tetapi kelapa sawit itu bukan milik peneroka, ada yang lakukan sedemikian mereka dapat lebih banyak hasil, tetapi tidak membayar hutang yang diambil ketika ladang mereka ditanam semula.
“Dengan cara ini, kita harapkan ia dapat selesaikan masalah (hutang peneroka),” kata Dr Mahathir lagi.
Tambahnya, kerajaan juga akan memperkenalkan dasar baharu industri pertanian yang mencadangkan lebih daripada satu tanaman dalam kawasan ladang.
“(Tanaman tunggal) akan memberikan risiko yang tinggi, polisi baru pertanian adalah untuk mewujudkan bercampur,” kata Dr Mahathir.
Sewaktu pembentangan Kertas Putih Felda pada 11 April lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali mengumumkan dana sebanyak RM6.23 bilion untuk lembaga terbabit.
Peruntukan itu akan disalurkan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat bagi memulihkan kembali Felda.
Kerajaan juga bersetuju menghapuskan kadar faedah di atas Pinjaman Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil yang dibebankan kepada peneroka dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion.
Susulan pengumuman itu, agensi penarafan Moody’s memberi amaran ia akan meningkatkan beban hutang kerajaan.
Ia menganggarkan beban hutang itu meningkat sebanyak 0.3% kepada 56% pada 2019.
Kertas Putih Felda mendedahkan liabiliti keseluruhan agensi itu meningkat 12 kali ganda sejak 10 tahun lalu, daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017.
Masalah utama aliran tunai Felda itu didapati berpunca daripada salah urus operasi, kegagalan pengurusan pelaburan dan integriti yang rendah. – 19 April, 2019.
Komen