PM hairan penarafan tak jatuh bila umum hutang RM1 trilion


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meluahkan kepelikannya dengan penarafan diberikan agensi luar. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 19 April, 2019.

DR Mahathir Mohamad hairan dengan tindakan agensi antarabangsa menurunkan taraf kredit negara selepas Malaysia menyelesaikan isu kewangan utama yang diwarisi kerajaan terdahulu.

Katanya, tindakan itu ganjil kerana agensi itu tidak menurunkan penarafan kredit apabila kerajaan mengumumkan hutang negara berjumlah RM1 trilion ringgit.

“Agensi penarafan kata berikan RM6 bilion ringgit untuk selamatkan Felda adalah satu kesilapan dan mungkin akan turunkan penarafan Malaysia. 

“Tetapi bila Malaysia hutang RM1 trilion tiada sebarang kenyataan untuk turunkan taraf,” kata Dr Mahathir,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Katanya, penarafan itu bagaimanapun diturunkan selepas kerajaan menyelesaikan isu utama yang diwarisi pentadbiran terdahulu, termasuk dengan menyediakan dana kepada Felda.

Turut diselesaikan adalah rundingan semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Felda, Tabung Haji, dan kini Bandar Malaysia.

“Kita berjaya selesaikan empat masalah utama daripada pentadbiran kerajaan terdahulu yang mencuri duit dan duitnya tidak dapat dikesan,” katanya.

Penurunan penarafan itu juga aneh kerana Putrajaya juga berjaya menjimatkan wang kerajaan.

“Saya rasa agensi penarafan ada kriteria sendiri tetapi kerajaan sebelum ini hutang jumlah yang begitu besar dan akan menyebabkan defisit selama bertahun-tahun dalam bajet.

“Dan mereka kekalkan penarafan, tetapi bila kita cuba selesaikan masalah kita diberitahu ini langkah yang salah,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata, kerajaan yakin dapat menyelamatkan pelaburan atau menyelesaikan masalah beberapa bulan selepas menandatangani kontrak ECRL. – 19 April, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen