KM Pulau Pinang akui Putrajaya tak luluskan cadangan tambak laut


Looi Sue-Chern

Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengakui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) hanya bersetuju dengan cadangan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) tetapi tidak meluluskannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 19 April, 2019.

KETUA Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini mengakui Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) tidak meluluskan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

Kenyataan itu dikeluarkan bagi membetulkan pengumuman yang dibuat semalam selepas mesyuarat majlis.

Chow berkata, majlis itu hanya bersetuju dengan cadangan projek penambakan dan telah mengemukakan 18 cadangan.

Beberapa saluran media memetik Chow sebagai berkata bahawa PSR telah diluluskan tetapi pada awal hari ini, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad menafikan kelulusan diberikan oleh majlis itu.

“Kami bersetuju sepenuhnya. MPFN hanya memberi nasihat tetapi tidak memberi kelulusan untuk projek itu,” kata Chow kepada wartawan hari ini.

“Tugasnya adalah untuk menasihati kerajaan atau jabatan mengenai perkara berkaitan perancangan bandar dan negara seperti dikehendaki undang-undang,” katanya.

Kesemua jabatan kerajaan atau agensi perlu mendapatkan nasihat MPFN mengenai cadangan pembangunan berkaitan dengan penambakan pantai, pembinaan infrastruktur utama negara seperti lapangan terbang, pelabuhan laut, pengangkutan kereta api, lebuh raya, empangan, tapak pelupusan sisa toksik dan lain-lain infrastruktur kepentingan nasional.

Chow berkata, Khalid sebelum ini sudah berkomunikasi dengannya berhubung kenyataan yang dikeluarkan mengenai MPFN tidak memberikan apa-apa kelulusan terhadap projek PSR.

“Saya memberitahunya saya tidak mempunyai bantahan,” katanya sambil menambah bahawa tidak perlu lagi mempertikaikan perkara itu.

“Kami juga boleh menunggu minit mesyuarat MPFN secara rasmi untuk mengetahui apa yang berlaku pada mesyuarat,” katanya. – 19 April, 2019.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen