Putrajaya nafi luluskan cadangan tambak laut Pulau Pinang


Looi Sue-Chern

Kerajaan Pulau Pinang dinasihatkan berunding dengan komuniti tempatan dan pihak terjejas oleh projek tambakan laut bagi memastikan semua keperluan mereka diberi perhatian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

KERAJAAN persekutuan belum meluluskan cadangan Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR), yang akan menjadi model pendanaan bagi pelan pengangkutan negeri, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad hari ini.

Khalid berkata Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), yang bertemu semalam dan mendengar cadangan PSR, masih belum meluluskan atau bersetuju.

“Majlis itu menasihati kerajaan Pulau Pinang dengan 18 cadangan, serta komen dan cadangan tambahan daripada pelbagai kementerian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian yang terlibat adalah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli; Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani; Kementerian Pengangkutan; Kementerian Hal Ehwal Ekonomi; dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Khalid tidak menyatakan 18 cadangan dimaksudkan tetapi berkata kerajaan Pulau Pinang juga dinasihatkan berunding dengan komuniti tempatan dan pihak terjejas oleh projek tambakan itu bagi memastikan semua keperluan mereka diberi perhatian.

Beliau juga berkata projek PSR juga perlu mendapatkan penilaian impak alam sekitar dan sosial yang diluluskan oleh agensi berkenaan.

“Memandangkan iapelan induk, ia perlu dikemukakan kepada MPFN untuk mendapatkan nasihat sekali lagi,” katanya.

Projek PSR sangat penting kepada kerajaan negeri kerana ia berfungsi sebagai model pendanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai berbilion ringgit, yang bertujuan untuk memperbaiki masalah lalu lintas negeri yang semakin buruk melalui gabungan lebuh raya baru dan sistem pengangkutan awam.

Semalam, selepas mesyuarat MPFN, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata majlis itu bersetuju pelaksanaan PSR dengan 18 nasihat.

Beliau juga tidak mengatakan butirannya.

“Pulau Pinang akan mematuhi nasihat oleh majlis dan komen oleh jabatan teknikal yang berkaitan apabila kami melaksanakan projek ini mengikut Seksyen 2A (2) (b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” kata Chow.

Beliau dijangka menjawab isu ini pada sidang akhbar tengah hari ini.

Di bawah PSR, tiga pulau berukuran 1,821 hektar secara keseluruhannya di selatan pantai pulau Pulau Pinang akan ditambak semula. Tanah tersebut akan dilelong untuk menjana dana bagi membiayai komponen PTMP.

Pulau yang ditambak itu juga akan memberikan Pulau Pinang tanah tambahan untuk pembangunan masa hadapan seperti perumahan dan industri, dan juga memperbesarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada masa depan.

Salah satu pulau juga akan dihubungkan dengan pulau utama menerusi projek transit LRT PTMP yang dicadangkan. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen