Kontraktor Bumiputera harap limpahan projek ECRL


Mohd Farhan Darwis

Putrajaya mengumumkan projek landasan pantai timur itu diteruskan dengan kos pembinaan lebih rendah serta jajaran baru laluan yang dilencongkan melalui Negeri Sembilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 April, 2019.

KONTRAKTOR Bumiputera berharap mereka akan diberi peluang terlibat dalam projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang bakal diteruskan oleh kerajaan selepas diketepikan sebelum ini oleh pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia berharap komitmen 40% kerajaan mahu melibatkan kontraktor tempatan dalam projek itu akan menjadi kenyataan dan bukan hanya janji di atas kertas.

“Kita harap pembinaan projek dirancang sebaik mungkin dan diagihkan secara telus kepada kontraktor kelas F di seluruh jajaran berhampiran ECRL.

“Saya harap ia bukan setakat atas kertas. Kita harap ia benar-benar jadi realiti, benar benar berikan kepada kontraktor khasnya kelas F,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya juga berharap pengagihan kontrak itu dapat dibuat secara undian supaya lebih banyak kontraktor dapat peluang rezeki di situ. Itulah harapan saya,” tambahnya.

Jumaat lalu, Putrajaya mengumumkan projek landasan pantai timur itu diteruskan dengan kos pembinaan lebih rendah serta jajaran baru laluan yang dilencongkan melalui Negeri Sembilan.

Mengikut jajaran baru, jarak perjalanan laluan itu dipendekkan dari 688km kepada 648km melalui Jelebu dan Kuala Klawang di Negeri Sembilan sebelum masuk ke Selangor melalui Bangi dan Kajang serta seterusnya Putrajaya dan Pelabuhan Klang.

Kos projek fasa 1 dan fasa 2 ECRL juga kini ditetapkan pada RM44 bilion, kurang RM21.5 biluon daripada kos asalnya.

Semasa mengumumkan komitmen meneruskan projek itu, Putrajaya juga menyebut pembinaannya harus melibatkan 40% syarikat tempatan, berbanding 30% dalam kontrak sebelum ini.

Pada Ogos 2017, Tukiman pernah meluahkan kekecewaan persatuan kerana kerajaan pada masa itu tidak memberi ruang kepada kontraktor kelas F terlibat dalam projek tersebut.

Tegas beliau, sebahagian daripada 26,449 kontraktor kelas F bukannya kodi sebaliknya berpengalaman menguruskan projek berkaitan rel, kerana turut sama terlibat dalam pembinaan projek Transit Aliran Deras (MRT).

Kontraktor Kelas F, atau mengikut kelas terbaharu G1, melaksanakan kerja di bawah RM200,000 dan lesen bagi kelas itu dikhususkan kepada kontraktor Bumiputera.

“Pembatalan projek ECRL sebelum ini tidak ada kesan kepada kami kerana kami tidak terlibat. Sekarang apabila ia hendak dilaksanakan semula kami harap kerajaan akan buka peluang untuk kontraktor seperti kami.

“MRT secara keseluruhan ada kontraktor kelas F yang terlibat, projek diberikan melalui undian, pengagihan sangat telus. Itu boleh jadi contoh untuk pengagihan projek kepada kontraktor kelas F bagi projek ECRL,” kata Tukiman.

Malah, katanya, kontraktor kelas F mampu melaksanakan segala tugasan yang diberi jika diberikan spesifikasi, seperti yang mereka lakukan dalam projek MRT.

“Kami selalu dijemput buat undian untuk kerja-kerja MRT. Ada kepakaran dalam kontraktor kelas F.

“Bagi apa kerja kami buat; bagi spesifikasi, kontraktor kelas F akan buat,” kata Tukiman lagi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Mokhtar Samad berkata persatuannya akan mengatur pertemuan segera dengan wakil kerajaan bagi membincangkan perkara itu secepat mungkin.

PKMM katanya turut mengharapkan mereka diberi peluang terlibat dalam projek tersebut memandangkan peluang tidak diberikan oleh kerajaan sebelum ini.

“Saya menyeru semua ahli persatuan yang berkelayakan untuk sahut cabaran perdana menteri turut serta terlibat dalam pembinaan ECRL.

“Kita juga harap perdana menteri faham situasi sebenar kerana ini adalah projek pertama dalam industri rel ini yang nak diberikan kepada kontraktor Bumiputera, maka kerajaan dan persatuan perlu ada perundingan supaya kita dapat laksanakan projek ini dengan jayanya,” kata Mohtar. – 19 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen