Hak pemaju untuk dedah laporan EIA, kata JAS


Looi Sue-Chern

Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL1) merupakan projek lebuh raya sepanjang 19.5km berserta terowong bukit dan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2019.

JABATAN Alam Sekitar (JAS) tidak memapar atau mendedahkan laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling (EIA) yang diluluskannya dan syarat yang disertakan bersama laporan.

Keputusan untuk memaparkan laporan dan syarat tersebut adalah pemaju projek, kata JAS.

JAS ditanya jika ia boleh memaparkan Laporan EIA bagi Lebuh Raya Pan Island Link 1 (PIL1) yang mendapat kelulusan pada 10 April lalu, dalam talian.

PIL1 merupakan projek lebuh raya sepanjang 19.5km berserta terowong bukit dan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Persatuan sivil Pulau Pinang yang membantah projek itu, Penang Forum, menggesa 56 syarat yang disertakan bersama kelulusan projek PIL1 dipaparkan dalam talian. Setakat ini, kerajaan negeri ini hanya mendedahkan senarai syarat berkenaan kepada pihak media.

“Adalah dimaklumkan bahawa, surat kelulusan dan syarat kelulusan tersebut adalah merupakan hak milik pemaju projek iaitu Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Sehubungan dengan itu, pihak pemaju berhak untuk membuat apa-apa sahaja keputusan terhadap surat tersebut, termasuk memaparkan atau berkongsi secara online bagi membolehkan orang awam meneliti maklumat itu sendiri. 

“Orang awam bolehlah mendapatkan ketelusan mengenai perkara ini secara terus  kepada pihak pemaju dan tidak perlu melalui JAS,” menurut kenyataan jabatan itu.

Sejak Isnin, persatuan sivil menyelar kelulusan EIA bagi projek PIL1.

Khoo Salma Nasution dari Penang Forum membangkitkan kebimbangan bahawa projek PIL1 mungkin akan melanggar garis panduan reka bentuk cerun yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya. – 18 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen