GPS nafi tarik ‘handbrake’ sokong pinda Perlembagaan


Desmond Davidson

Ketua Whip GPS Fadillah Yusof (tengah) menafikan mereka menarik balik sokongan kepada pindaan Perlembagaan mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 April, 2019.

AHLI Parlimen Gabungan Parti Sarawak tidak pernah menarik sokongan kepada pindaan Perlembagaan dibentangkan Putrajaya minggu lepas walaupun pada asalnya bersetuju menyokongnya, kata Ketua Whip GPS Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata, mereka tidak pernah mengubah pendirian tentang pindaan Perlembagaan yang gagal diterima minggu lepas.

“Kami konsisten dalam pendirian kami dan kami jelas tentang perkara itu,” katanya mengulas laporan The Malaysian Insight semalam.

Laporan menyatakan yang GPS menarik balik sokongan dan tidak mengundi walaupun Putrajaya sudah bersetuju dengan permintaan mereka bagi memasukkan istilah tertentu untuk mengiktiraf Sabah dan Sarawak sebagai Negeri Borneo.

Sehari sebelum RUU pindaan itu dibentang untuk bacaan kedua pada 9 April lalu, Fadillah mengirim sepucuk surat kepada Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Mohd Yusof mencadangkan pindaan kepada usul pindaan asal.

Dalam surat bertarikh 8 April yang dilihat oleh The Malaysian Insight, GPS mencadangkan supaya pindaan Artikel 1(2) diubah dengan memasukkan fasal “negeri-negeri Borneo” bagi merujuk pada Sabah dan Sarawak. Beliau memohon pindaan itu dikemukakan pada peringkat jawatankuasa RUU.

Peringkat jawatankuasa ialah persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selepas pengundian meluluskan pindaan RUU pada bacaan kedua.

RUU itu bagaimanapun tidak diluluskan selepas Pakatan Harapan (PH) gagal mendapat majoriti dua pertiga yang diperlukan atau sokongan 148 ahli Parlimen bagi meminda Perlembagaan Persekutuan.

Hanya 138 ahli Parlimen mengundi menyokong sementara 59 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), PAS dan GPS berkecuali. Tidak ada ahli Parlimen yang menentang.

Fadillah berkata beliau dan rakan-rakan GPD sedar mereka akan berdepan “kecaman politik yang besar daripada mereka yang tidak faham isu atau tidak faham semangat kami untuk hak Sarawak.”

Tambahnya, mereka tidak akan bertolak ansur dalam soal mengembalikan hak Sabah dan Sarawak serta melindungi sepenuhnya kepentingan kedua-dua negeri itu. – 18 April, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen