LIM Kian Hock masih ingat hari itu, 54 tahun lalu pada 16 September, 1963 di mana Malaysia dilahirkan.
Berusia 24 tahun ketika itu, pegawai pentadbir Sarawak yang bertugas di Belaga itu mengumpulkan pemimpin di daerah berkenaan, pegawai kerajaan dan wakil tentera British di Kubu Vyner untuk melakukan tabik hormat ketika menyaksikan bendera Malaysia dikibarkan.
Kubu yang menghadap deretan kedai di bazaar Belaga itu dibina pada zaman Brooke yang kemudian dijadikan pejabat daerah.
Lim, sebagai wakil paling senior dalam kerajaan itu, membacakan perisytiharan Malaysia oleh ketua menteri Kalong Ningkan.
Beliau yang kini berusia 77 tahun masih ingat suasana tegang dan cemas menjelang hari Malaysia susulan bantahan dibuat Indonesia terhadap persekutuan itu dan operasi ketenteraan mereka di sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan.
“Tidak ramai yang datang menyaksikan majlis menaikkan bendera,” kata Lim.
“Ada khabar angin mengatakan akan berlaku serangan oleh Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU) – yang terdiri daripada bekas pemberontak Brunei yang melarikan diri ke Indonesia dan komunis – untuk mengganggu upacara itu.”
Tidak berlaku sebarang serangan pada hari itu dan semua yang berada di Belaga lega upacara berkenaan dapat disempurnakan tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Sehari sebelum itu pada jam 5 petang, satu “majlis ringkas” menurunkan bendera Union Jack dilakukan kali terakhir di Kubu Vyner, turut berjalan lancar tanpa gangguan.
Selepas 12 hari, pada 28 September, TNKU menyerang pos tentera yang dijaga kumpulan kecil pasukan Gurkha dan Border Scots di Long Jawi dan menjadi kejadian paling teruk sepanjang Konfrontasi Indonesia selama tiga tahun.
Tahun-tahun awal pembinaan negara
Lim menyertai perkhidmatan kerajaan kolonial sebagai kadet pentadbiran Sarawak pada penghujung April 1962.
Beliau salah seorang daripada orang Cina yang menyertai perkhidmatan awam untuk ditugaskan ke kawasan luar bandar.
Lim kemudian menulis yang “saya tidak tahu pun saya akan diberikan peluang mengalami sendiri bagaimana negara ini dibina dan betapa harmoninya perjalanan Sarawak menuju pemerintahan sendiri dan kemerdekaan selepas pengumuman pembentukan Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman pada 1961”.
Sibu menjadi tempat pertama Lim dihantar bertugas di mana beliau melakukan “orientasi kerja intensif” meliputi fungsi pejabat daerah, majlis daerah bandar Sibu, pendaftar tanah dan ukur serta mahkamah.
Beliau kemudian dihantar bertugas ke bandar kecil Kanowit, atas Sungai Rajang dari Sibu.
Bertugas sebagai penolong pegawai pendaftar di pejabat daerah Kanowit, peranan utamanya ialah mengetuai pasukan menjalankan pendaftaran pengundi untuk pilihan raya majlis kerajaan tempatan.
Ketika berada di situ, pemberontak Brunei menyerang pentadbiran penjajah British di Borneo dan mencetuskan banyak lagi insiden selepas itu.
Pada 6 Disember, 1962 pemberontakan yang menggulingkan Sultan Brunei oleh Sheikh Azahari mula merebak hingga ke Limbang.
Tetapi pemberontakan itu hanya bertahan lapan hari apabila Azahari yang tidak begitu terlatih dan pemberontak yang kurang kelengkapan senjata tidak mampu melawan tentera British.
Akibat pemberontakan itu, Lim ditugaskan mengumpul senapang patah dari kedai-kedai di Machan bagi mengelak kebangkitan sama berlaku di Sarawak.
Beliau juga diminta mengikut rondaan keselamatan tentera British.
Selepas 10 bulan di Kanowit, beliau diarahkan ke Belaga dan mengambil alih tugas daripada pegawai pentadbir kanan Don Bisco Biscop.
Baru tiga hari bertugas, berlaku serangan di balai polis di sempadan bandar Tebudu, kira-kira 104km dari Kuching, dilakukan oleh Indonesia.
Serangan di balai itu, kira-kira 5km dari sempadan, konfrontasi yang menyebabkan kematian kali pertama – seorang koperal bernama John Remek.
“Saya diuji dengan konfrontasi Indonesia, diikuti dengan serangan di Tebedu,” kata Lim.
Beliau mendapati situasi keselamatan amat tegang dan memaklumkan residen Divisyen Tiga (Sibu), A F R Griffin.
“Kami ada panggilan radio. Dia beri saya sokongan moral dan saya berjanji untuk menahan kubu dan mempertahankan Belaga,” katanya.
Beliau juga ingat seorang lagi pegawai kolonial, Mr Bruin yang memanggilnya dengan nama Bujang kerana beliau satu-satunya pegawai pentadbir Sarawak yang masih belum berkahwin pada masa itu.
Indonesia yang berkonfrontasi
Belaga pada 1960-an bandar kecil, dengan pusat pentadbiran terpencil di hulu sungai Rajang – dan ia masih begitu sehingga sekarang.
Tidak ada polis, tidak ada telefon, air paip atau bekalan elektrik.
Untuk menjaga keselamatan, hanya ada 10 pengawal dan dua senapang patah untuk dikongsi.
Terdapat juga satu platun Gurkha ditempatkan di landasan udara Belaga, tetapi itu terlalu jauh, kira-kira 32km menuju ke bazaar.
Tidak ada jalan raya. Semuanya menggunakan sungai.
“Suasana di Belaga susulan serangan Tebedu sangat tegang,” kata Lim.
“Ada laporan mengatakan tentera Indonesia kelihatan di sempadan dan bunyi mortar berulang kali kedengaran.
“Dari masa ke masa operator pemancar radio kami akan mendengar komunikasi dilakukan Indonesia. Kami tahu mereka menghantar mesej ke Jakarta tetapi ia ada kod, jadi kami tidak tahu apa mesejnya,” katanya.
Sebahagian tugasnya ialah mengadakan pilihan raya berjadual di Belaga untuk wakil pilihan raya ke badan perundangan negeri.
Lim berkata menjalankan pilihan raya mendedahkan mereka untuk ditangkap TNKU di rumah panjang yang terletak di sempadan di mana anggota bersenjata kelihatan dari masa ke masa.
Ternyata kebimbangannya jadi kenyataan bila Indonesia mengadakan serbuan di kawasan pedalaman, ke Divisyen Tiga (kini bahagian Kapit) di Long Jawi, Sarawak.
Selepas setahun tiga bulan di Belaga, Lim dihantar ke Kuching.
“Mengenang kembali, ia satu perjalanan bertugas yang amat memberi inspirasi, berkhidmat untuk negara saya.”
Tetapi, Lim berkata beliau sedih kerana kehilangan rakan kerja dan senegara yang meninggal dunia demi kelahiran Malaysia.
Lim terus maju dalam kariernya sebagai penjawat awam dan menjadi setiausaha paling lama berkhidmat di Majlis Negeri – 15 tahun dari 1979 hingga 1986.
Beliau berkhidmat untuk lebih dua ketua menteri dan empat speaker. – 16 September, 2017.
Komen