Malaysia kutuk pelancaran peluru berpandu Korea Utara


Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik dan Malaysia mengutuk tindakan itu sebagai pencabulan jelas terhadap resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. – Gambar AFP, 16 September, 2017.

MALAYSIA mengutuk sekeras-kerasnya pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu lagi pencabulan jelas terhadap pelbagai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC).

Selain itu, ia turut menjejaskan rejim sejagat mengenai pelucutan dan ketakcambahan senjata nuklear.

Wisma Putra, dalam kenyataan malam tadi berkata Malaysia menyuarakan kebimbangan yang serius berikutan peluru balistik sekali lagi telah merentasi wilayah berdaulat Jepun, sekali gus memberi ancaman secara langsung terhadap keselamatan negara tersebut.

“Tindakan provokasi sedemikian terus memudaratkan ketegangan yang sedia wujud di Semenanjung Korea dan rantau ini. Ia satu lagi tindakan yang menjejas usaha masyarakat antarabangsa dalam mencari penyelesaian muktamad dan keamanan berkekalan di rantau tersebut,” menurut kenyataan itu.

Agensi berita China, Xinhua hari ini melaporkan tentera Amerika Syarikat dalam kenyataan menyebut ia mengesan pelancaran peluru berpandu balistik perantaraan jarak dekat berhampiran Sunan di Pyongyang, pada jam 11.57 pagi waktu Hawaii.

Agensi berita itu memetik Pemerintah Tentera Amerika Syarikat di Pasifik sebagai berkata peluru berpandu itu melintasi bahagian utara Jepun sebelum mendarat di Lautan Pasifik di bahagian timur Jepun.

Sehubungan itu, Wisma Putra berkata Malaysia menyeru semua pihak, khususnya rejim Pyongyang mengambil suatu pendekatan yang lebih berwaspada dan juga menekankan kepentingan mewujudkan suasana kondusif bagi menyambung semula proses dialog dengan segera antara pihak berkaitan.

“Malaysia kecewa dengan tindakan Korea Utara menentang gesaan masyarakat antarabangsa supaya rejim Pyongyang meneroka penyelesaian secara aman dalam menangani situasi di Semenanjung Korea,” menurut kenyataan itu.

Berikutan itu, Malaysia dengan tegas menggesa Korea Utara supaya menghentikan sebarang pelancaran peluru balistik, menamatkan program nuklear dan peluru balistik serta mematuhi sepenuhnya obligasi negara tersebut seperti termaktub dalam resolusi UNSC demi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa. – Bernama, 16 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen