Membina Malaysia untuk semua


Jahabar Sadiq

Sambutan Hari Malaysia seharusnya jadi kesempatan yang menggembirakan tetapi beberapa hal yang berlaku dalam masa beberapa tahun lalu menunjukkan betapa rapuhnya kenegaraan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2017.

HARI ini Malaysia menyambut ulang tahunnya yang ke-54. Selamat Hari Malaysia!

Tetapi apakah yang kita rayakan sebenarnya? Lima puluh empat tahun kenegaraan yang menyatukan empat, dan dua tahun kemudian, tiga wilayah sebagai sebuah negara?

Dengan tolok ukur apa sekali pun, ini seharusnya jadi sebuah kesempatan yang menggembirakan tetapi beberapa hal yang berlaku dalam masa beberapa tahun lalu menunjukkan betapa rapuhnya kenegaraan ini, betapa longgarnya ikatan yang mengikat kita sebagai satu bangsa, sebagai bangsa Malaysia.

Sekiranya kita satu bangsa, kenapa saudara kita di Sarawak mengirimkan sebuah pasukan perundangan ke London untuk meneliti Perjanjian Malaysia 1963 yang asal? Kenapa mereka merungut tentang keuntungan daripada cukai pelancongan? Dan royalti petroleum?

Adakah kita sebagai sebuah negara malah memahami isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963? Adakah kita patuh kepada perkara yang diminta dan diberikan kepada rakyat Sarawak dan Sabah ketika mereka bersetuju dengan Malaya untuk membentuk Malaysia pada 1963?

Ironinya, kerajaan yang memerintah baik di Sarawak mahupun di Sabah adalah kerajaan yang sama dengan kerajaan persekutuan iaitu Barisan Nasional (BN). Tidakkah boleh mereka sebagai pakatan yang memerintah menyelesaikan isu ini?

Tidak bolehkah mereka sebagai pakatan yang memerintah membangunkan sebuah negara yang saksama, atau apakah perlu bagi Sarawak untuk mengumumkan ia akan membiayai sejumlah RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah kepada piawai abad ke-21 hanya kerana Putrajaya tidak ada dana yang mencukupi?

Sekiranya begitulah halnya dari mana Putrajaya dapat RM30 bilion untuk menaik taraf sekolah tahfiz bagi memastikan ia memenuhi peraturan keselamatan bangunan?

Hakikatnya, bolehkah kita mendakwa bahawa dengan Malaysia, sistem pendidikan kita sudah meningkat dengan pesat? Sekiranya begitu, kenapa kita lihat ada lebih banyak pilihan untuk ibu bapa, daripada sekolah swasta dengan bangunan baru yang tinggi kosnya sehinggalah kepada sekolah ditempatkan di kediaman persendirian yang serba kekurangan malah tahap keselamatan yang asas?

Beberapa tahun sebelum Malaya diberi hak memerintah sendiri dan kemudiannya merdeka, penjajah British mengasaskan Kolej Latihan Guru-Guru Malaya di Kirkby, dekat Liverpool. Ia berdiri dari 1952 sampai 1962.

Mereka menetapkan standard baharu untuk sebuah negara baharu Malaya, sama seperti yang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya untuk bangunan sekolah yang menekankan aspek keselamatan dan kesihatan.

Malaysia masih ada standard yang sama untuk mendirikan sekolah swasta. Tetapi peraturan seolah-olahnya diremehkan oleh sekolah lebih kecil seperti sekolah tahfiz. Apakah guru-gurunya layak mengajar? Apakah bangunannya selamat? Siapa yang mengawal selia mereka?

Persoalan ini timbul selepas kebakaran sebuah sekolah tahfiz di Datuk Keramat yang membunuh 21 pelajar dan dua guru yang tinggal di asrama sekolah yang dijilat api pada 14 September. Ia kebakaran paling buruk di negara ini dalam masa 20 tahun.

Apakah akan ada siasatan awam ke atas tragedi itu? Sebuah negara yang umurnya 54 tahun sepatutnya kini sudah ada sistem persekolahan untuk semua, dan standard yang terpakai pada institusi pendidikan swastanya. Dan bukannya korban dari sebuah asrama yang hanya ada sebuah pintu dan dipenjara oleh jeriji keselamatan.

Itu tanda kegagalan sebuah sistem, pengabaian dan kecuaian tanggungjawab.

Malaysia kini menghadapi defisit kepercayaan yang meningkat. Pertama, kepada kerajaan, baik pakatan yang memerintah atau lawan politiknya yang mentadbir dua negeri. Kedua, defisit kepercayaan itu menular pada institusi yang bukan saja bertanggungjawab ke atas kita tetapi yang melabur bagi pihak kita.

Lihatlah di luar skandal 1MDB.

Pernahkah rakyat Malaysia secara terbuka mempertikaikan pelaburan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – dana pencen terbesar Malaysia? Pernahkah kita mempersoalkan tindakan syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines membeli pesawat penumpang Boeing?

Kita sekarang mempersoalkannya sama seperti sesetengah pihak yang mengecam perdana menteri kerana bersungguh-sungguh mengatakan Malaysia akan membantu mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat. Bagaimana dengan ekonomi Malaysia?

Keputusan Sarawak membiayai peningkatan sistem persekolahannya memberikan kita jawapannya. Bahawa rakyat Malaysia terpaksa bergantung pada diri mereka sendiri untuk menjadi Malaysia lebih baik, jika pun tidak hebat.

Pada usianya 54 tahun, kita boleh melihat betapa sebuah negara merdeka menuntut rakyatnya untuk juga merdeka dalam menentukan keputusan sukar, yang akan menyebabkan kerajaan bersikap jujur dan bertanggungjawab.

Ia bermakna bersuara dan menggunakan suara itu. Ia bermakna mempunyai hak untuk mengundi dan menggunakan hak itu untuk mengundi. Kerana Malaysia bukan milik segelintir, tetapi milik bersama semua rakyat.

Selamat Hari Malaysia!

* Jahabar Sadiq mengendalikan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen