SEMUA projek kerajaan Pakatan Harapan akan dibuat menerusi tender terbuka, termasuklah projek dengan kerajaan China, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Ong Kian Ming.
Ong berkata Malaysia tidak akan mendiskriminasi pembida tender berdasarkan syarikat atau negara.
Katanya lagi, dalam kes Rel Keretapi Pantai Timur, projek tersebut dianugerahkan kepada China Communications Construction Company (CCCC) berdasarkan perjanjian dilakukan kerajaan terdahulu.
“Perkara unik tentang ECRL adalah kerana ia dianugerahkan kepada syarikat China, CCCC, dan sebahagian besar kerja sudah dijalankan.
“Untuk projek infrastruktur di masa depan, kami mahu galakkan semua syarikat berminat untuk buat bidaan. Ini termasuklah syarikat China.
“Kami tak diskriminasi syarikat dari mana-mana negara dan kami juga tidak cenderung kepada syarikat negara tertentu,” kata Ong kepada wartawan selepas forum Inisiatif Jalur dan Jalan China (BRI) hari ini.
CCCC adalah rakan kerjasama Malaysia Rink Link Sdn Bhd untuk projek ECRL yang menjalani rundingan semula.
Ong berkata syarikat China akan mempunyai peluang menyertai kerjasama dengan syarikat Malaysia atau syarikat negara lain, selagi mana bidaan mereka kompetetif.
Beliau juga berkata yang kejayaan kerajaan PH melakukan rundingan semula projek itu, sehingga berjaya mengurangkan kos fasa 1 dan 2 kepada RM44 bilion berbanding kos asal RM65.5 bilion, akan meredakan kebimbangan dalam kalangan syarikat China untuk melabur di negara ini.
“ECRL dianggap banyak pihak sebagai salah satu projek bagaimana Malaysia mahu menentang China…kami tak lawan, ia hanyalah soal tambah baik dasar.”
Forum hari ini diadakan menjelang forum sama yang akan diadakan di Beijing bulan ini, yang dijangka turut dihadiri Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Ong berkata lawatan Dr Mahathir ke China penting kerana ia menghantar mesej jelas kepada negara lain tentang penglibatan dan komitmen Malaysia terhadap BRI. – 16 April, 2019.
Komen