KEKALAHAN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau tidak memberikan kesan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Dr Mahathir Mohamad.
Perdana menteri berkata kebanyakan parti kerajaan tidak akan mendapat sokongan ketika PRK kerana keputusan pilihan raya itu tidak akan mengubah kerajaan.
“Kebanyakan parti kerajaan masa PRK tidak dapat banyak sokongan kerana tidak ada banyak perubahan kepada kerajaan.
“Kerajaan kekal sama, sama ada kalah atau menang,” kata Dr Mahathir kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan pameran dan pertunjukan teknologi serta inovasi kejuruteraan rel di Cyberjaya, hari ini.
Dr Mahathir yang juga pengerusi PH berkata, kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Mohamad Hasan di kerusi DUN Rantau juga tidak mengubah kedudukan kerajaan Negeri Sembilan.
Mohamad berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti 4,510 undi pada pilihan raya kecil Rantau Sabtu lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Mohamad mendapat 10,397 undi, menewaskan calon PH, Dr S Streram yang memperolehi 5,887 undi dan dua calon bebas, Malarvizhi Rajaram dan Mohd Nor Yassin masing-masing mendapat 83 undi dan 79 undi.
Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata, kekalahan PH dalam PRK itu memberi isyarat pimpinan kerajaan harus memberi perhatian kepada isu berkaitan ekonomi dan kos sara hidup yang menekan rakyat.
“Kekalahan ini merupakan peringatan kepada pimpinan PH untuk terus memberi perhatian yang sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup.
“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan, selepas keputusan pilihan raya itu diumumkan. – 16 April, 2019
Komen