22 cedera dalam serangan bom di London


Stesen kereta api bawah tanah Parsons Green kini ditutup dan dikawal ketat oleh anggota pasukan keselamatan. Kejadian itu disifatkan sebagai "insiden pengganas". – Gambar EPA, 15 September, 2017.

SEKURANG-kurangnya 22 orang dilaporkan cedera selepas bom diletupkan dalam kereta api bawah tanah di London ketika waktu puncak pada Jumaat yang disifatkan polis sebagai “insiden penganas”.

Saksi dilaporkan melihat penumpang kereta api terbabit diselubungi darah dan mengalami lecur di bahagian muka ketika turun di stesen Parsons Green di barat London selepas letupan itu.

“Kira-kira 8.20 pagi ini di stesen Parsons Green berlaku letupan dalam kereta api bawah tanah. Kami percaya ia adalah letupan bom buatan sendiri,” kata ketua polis bahagian anti keganasan Mark Rowley.

Pengguna Twitter yang memuat naik gambar baldi berwarna putih yang berterabur dalam kereta api berkenaan berkata: “Letupan dalam kereta api di daerah Parsons Green. Bebola api dilihat tercetus dari bawah kereta api dan kami melompat keluar dari pintu kereta api”.

Baldi terbabit kelihatan seperti yang digunakan dalam pembinaan dan terdapat beberapa kabel terkeluar daripadanya. Menurut Sky News, penyiasat mengesyaki alat letupan berkenaan tidak meletup sepenuhnya.

Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan berkata, 18 orang dikejarkan ke hospital dengan ambulans, manakala empat lagi berjaya ke hospital sendiri.

Rowley berkata, kebanyakan mereka yang dibawa ke hospital dirawat kerana melecur. Perkhidmatan risikan MI5 kini membantu siasatan.

Perdana Menteri Theresa May berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat kabinet tergempar berhubung insiden itu.

Anggota polis lengkap bersenjata dilihat berada di dalam kereta api dan sekitar stesen terbabit yang kini ditutup dan polis turut menggesa orang awam tidak menghampiri lokasi kejadian.

Penduduk tempatan berkumpul bersama-sama dan menawarkan minuman dan membenarkan penduduk tempatan yang tidak dapat pulang akibat penutupan stesen itu menggunakan tandas di kediaman mereka.

Salah seorang penduduk tempatan, Charlie Craven yang sedang dalam perjalanan ke stesen terbabit berkata, dia terdengar bunyi letupan yang kuat.

“Saya meninjau keadaan sekeliling dan perkara pertama yang saya nampak adalah bebola api besar macam yang dilihat dalam filem,” katanya.

Insiden terbabit merupakan serangan pengganas yang kelima dalam tempoh enam bulan di Britain sejak Mac lalu, selepas seorang penyerang merempuh pejalan kaki dan menikam anggota polis di luar parlimen Britain.

Sementara itu, Datuk Bandar London Sadiq Khan menggesa penduduk London agar kekal tenang.

“Sebagaimana yang dibuktikan London sebelum ini, kita tidak akan tunduk atau menyerah kepada pengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata, serangan itu dilakukan oleh “pengganas pengecut”.

“Ini adalah orang yang sakit yang berada di Scotland Yard. Mesti proaktif!” katanya pada laman Twitter tanpa mengulas lanjut. – AFP, 15 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen