Malaysia belum perlu kereta api berkelajuan tinggi, kata Dr Mahathir


Mohd Farhan Darwis

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika sesi soal jawab di pameran dan pertunjukan teknologi inovasi kejuruteraan rel tempatan di Cyberjaya, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 16 April, 2019.

MALAYSIA masih belum memerlukan projek kereta api berkelajuan tinggi buat masa ini, sebaliknya apa yang lebih diperlukan sekarang ialah meningkatkan perkhidmatan sistem kereta api, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kerajaan bagaimanapun tidak menolak membina kereta api berkelajuan tinggi di Malaysia pada masa akan datang, jelas beliau.

“Kerajaan Malaysia percaya kita perlu gerakkan orang lebih cepat (dengan) perjalanan melalui kereta api, tetapi yang tidak terlalu lama.

“Kalau hanya perjalanan singkat setakat 15 hingga 20 minit tidak berbaloi, tapi kalau cukup panjang, perjalanan antara 2 hingga ke 6 jam, kereta api berkelajuan tinggi jawapannya.

“Tapi Malaysia sekarang ini, kita tidak ada keperluan lagi untuk bina kereta api berkelajuan tinggi,” kata Dr Mahathir ketika sesi soal jawab di pameran dan pertunjukan teknologi inovasi kejuruteraan rel tempatan di Cyberjaya, hari ini.

Beliau berkata, antara pelaburan yang dilaksanakan kerajaan pimpinannya adalah menaik taraf kereta api elektrik dan laluan rel berganda.

“Pada masa akan datang mungkin akan ada kereta api berkelajuan tinggi, mungkin dari Johor ke Pulau Pinang atau sempadan Thailand, itu kerajaan sedang usahakan,” kata Dr Mahathir.

Pengerusi Pakatan Harapan itu bagaimanapun ketika ditemui pemberita enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

“Tunggu bila tiba masanya, buat masa ini kita belum perlukan lagi (kereta api berkelajuan tinggi), pada masa akan datang mungkin ada kemungkinannya,” kata Dr Mahathir.

Tambahnya, projek berkaitan kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur ke Singapura juga tidak dilaksanakan buat masa ini.

“Kita sudah berbincang (dengan Singapura mengenai HSR), buat masa ini kita tidak akan bina, kita minta tempoh dua tahun sebelum berbincang semula mengenai HSR.

“Buat masa ini tiada kontrak dikeluarkan tetapi kita perlu bayar pampasan kepada Singapura,” katanya.

Pada Mei tahun lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata Putrajaya perlu membayar pampasan RM500 juta berhubung pembatalan projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Beliau berkata, kerajaan membuat keputusan akhir untuk membatalkan projek tersebut kerana ia tidak memberi manfaat serta melibatkan kos yang tinggi.

Projek HSR bernilai RM100 bilion itu antara projek mega sewaktu pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak.  – 16 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen