Dr Sahruddin ikrar utamakan Johor, ketepi kepentingan politik


Mohd Farhan Darwis

Adun Bukit Kepong, Dr Sahruddin Jamal mengangkat sumpah di Istana Bukit Serene pagi tadi menggantikan Osman Sapian. – Gambar Facebook, 14 April, 2019.

MENTERI Besar Johor yang baru dilantik,  Dr Sahruddin Jamal berikar untuk mengutamakan kepentingan negeri itu berbanding kepentingan politik dan peribadi.

Dalam kenyataan selepas mengangkat sumpah jawatan hari ini, Adun Bukit Kepong itu berkata beliau menggalas tanggungjawab itu dengan ikhlas dan beramanah demi kesejahteraan rakyat.

“Patik akan menggalas tanggunjawab ini dengan jujur, ikhlas dan penuh amanah serta mengutamakan kepentingan negeri berbanding kepentingan diri atau politik demi kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran ekonomi negeri Johor,” katanya.

Beliau menyiarkan rakaman ucapan itu di Facebook susulan titah Sultan Johor supaya menteri besar baharu memastikan kerajaan negeri tidak membuang masa bercakap dan memfitnah orang lain

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga bertitah, kerajaan negeri harus menumpukan usaha membantu rakyat dan meningkatkan ekonomi.

“Saya harap beliau akan menjalankan tanggungjawab dengan ikhlas dan memberi keutamaan kepada keperluan negeri dan bukan hal peribadi atau politiknya,” katanya.

Dalam ucapan selepas upacara mengangkat sumpah pagi ini, baginda juga menggesa Dr Sahruddin menumpukan pada kes pencemaran sungai dan memastikan bekalan air bersih.

Setiausaha PH Johor itu dilantik menjadi menteri besar Johor ke-17 menggantikan Osman Sapian yang meletakkan jawatan awal minggu ini. 

Dr Sahruddin, 43, merupakan Adun penggal pertama dan pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian.

Beliau memegang ijazah perubatan dan pembedahan dari Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia serta mengendalikan kliniknya sendiri di Pagoh sebelum memasuki bidang politik.

Isterinya, Dr Nila Armila Mukdan juga seorang doktor dan mereka mempunyai tiga anak perempuan.

Dalam pilihan raya umum lepas, Dr Sahruddin mengalahkan calon Barisan Nasional, Mohd Noor Taib dengan majoriti 1,273 undi untuk memenangi kerusi Bukit Kepong.

Dengan pelantikan itu dijangka sekurang-kurangnya dua ahli majlis eksekutif negeri akan digugurkan.  

Di bawah Osman, terdapat 10 anggota exco kerajaan negeri – empat daripada DAP, dua Bersatu, PKR dan Amanah.

Spekulasi Dr Sahruddin akan menjadi menteri besar Johor menjadi kenyataan apabila dilihat menjadi wakil rasmi Osman untuk Malaysia-Singapore Leaders Retreat di Putrajaya pada 9 April.

Sehari sebelum itu, Osman mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk meletak jawatan. – 14 April, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen