AMERIKA Syarikat menggesa China dan Rusia mengambil “tindakan langsung” masuk campur selepas Korea Utara melepaskan peluru berpandu melepasi Jepun ke arah Lautan Pasifik.
“China membekalkan kebanyakan minyak Korea Utara. Rusia pula menggaji paling ramai buruh paksa Korea Utara,” kata Setiausaha Negara Rex Tillerson dalam satu kenyataan.
“China dan Rusia perlu menggambarkan mereka tidak akan bertolak ansur dengan tindakan semborono Korea Utara melepaskan peluru berpandu dengan mengambil tindakan langsung.”
Peluru berpandu itu dilancarkan berhampiran Pyongyang susulan tindakan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan lapan sekatan ke atas negara itu berkaitan program pembangunan bom atom dan peluru berpandunya.
Tillerson menyifatkan sekatan terbaru itu sebagai “lantai, bukan siling tindakan yang kita perlu ambil. Kami menggesa semua negara melaksanakan tindakan masing-masing ke atas rejim Kim.”
“Provokasi berterusan ini hanya memburukkan hubungan diplomatic dan ekonomi Korea Utara yang sudah terasing itu.”
Presiden AS Donald Trump masih belum mengeluarkan kenyataan tentang pelancaran peluru berpandu itu tetapi sudah diberikan penjelasan situasi itu menurut White House.
Majlis Keselamatan PBB akan mengadakan mesyuarat tertutup pada jam 3.00 petang (1900 GMT) hari ini atas permintaan AS dan Jepun.
Gesaan Tillerson itu dikeluarkan selepas ketua ketenteraan AS rantau itu mengesahkan yang Korea Utara melepaskan peluru berpandu jarak sederhana kepada Jepun sebelum ia jatuh di Lautan Pasifik, menyifatkannya sebagai ancaman kepada Amerika Utara.
Ini adalah kali kedua dalam tempoh sebulan Korea Utara melancarkan peluru berpandu melepasi Jepun.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan mengatakan peluru berpandu itu dianggarkan bergerak sejauh 3,7000 kilometer dan setinggi 770 kilometer- lebih jauh dan tinggi berbanding Hwasong-12 IRBM yang dilancarkan hujung Ogos lalu.
Pelancaran itu berlaku selepas ujian nuklear pada 3 September lalu, terbesar setakat ini yang dilakukan Pyongyang. Negara itu mendakwa mereka berjaya menghasilkan bom nuklear yang boleh dimuatkan di dalam peluru berpandu. – AFP, 15 September, 2017.
Komen