Fokus belia untuk tangani rasuah, kata kumpulan pemantau rasuah


Mikha Chan

Tindakan segera perlu dibuat bagi menjalankan kajian integriti untuk mengukur etika belia hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 April, 2019.

PUTRAJAYA perlu lebih berhati-hati menangani isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan belia bagi memastikan mereka menjaga integriti semasa berada di pejabat, kata Presiden Transparency International Malaysia (TI-M) yang baru dilantik, Dr Muhammad Mohan.

Beliau berkata, tindakan segera perlu dibuat bagi menjalankan kajian integriti untuk mengukur etika belia hari ini.

Katanya, tinjauan terakhir dilakukan kerajaan hampir 15 tahun lalu oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tinjauan dalam talian meminta para siswazah menjawab sama ada mereka menerima rasuah jika mempunyai kuasa.

“30% berkata ya. Dan mereka itu sekarang berada dalam sistem kami. 

“Kita perlu melakukan satu lagi tinjauan untuk mengetahui di mana kita berada sekarang,” kata Muhammad kepada The Malaysian Insight dalam wawancara baru-baru ini. 

Menurut satu kajian dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2016, kira-kira 16% pelajar di institusi pengajian tinggi berkata, mereka sanggup menerima rasuah sekiranya mempunyai peluang dan kuasa untuk berbuat demikian.

Kajian itu juga mendapati 18.2% pelajar bersedia memberi rasuah untuk mengelak dikenakan tindakan dan peratusan meningkat daripada 0.8% kepada 17.4% pada 2015.

Muhammad berkata, golongan belia perlu secara terbuka menentang rasuah.

“Kami mahu mereka bercakap dan mendedahkan isu rasuah. Mereka harus bercakap di forum. Salah satu masalah yang kita lihat dalam kalangan belia Malaysia ialah kemampuan untuk bercakap secara terbuka adalah kurang,” katanya. – 13 April, 2019. 

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen