Oghang Rantau poie pokan tak naik basika laie dah


Nomy Nozwir

SEMPENA Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau, aku teringat pada satu lagu loghat Negeri Sembilan yang popular, kalau tak silap sekitar 80-an, dari Blues Gang, Apo Nak Dikato.

Aku mendengar lagu ini ketika aku sangat muda. Ayah aku orang Minang, jadi dia selalu suka buka lagu ini dalam kereta Daihatsu Charade warna merah dia.

Lirik lagu ini menceritakan tentang kebosanan orang muda tinggal di kampung dan kalau boleh nak jadi cikgu sekolah di Kuala Pilah, nak bising-bising macam di Pekan Tampin atau nak kerja kilang di Seremban (mungkin dia maksudkan Senawang).

Kali pertama aku ke Negeri Sembilan masa umur aku tadika. Ke Port Dickson untuk berkelah dan beriadah bersama keluarga. Pada ketika itu, berkelah adalah aktiviti paling popular bgi kalangan golongan middle class dan lower middle class macam aku.

Dan selalunya Port Dickson menjadi pilihan utama penduduk KL.

Tetapi Negeri Sembilan yang aku kenal ketika itu cuma pekan Seremban yang pada masa itu besar lebih kurang pekan Kajang. Bas henti-henti Foh Hup dari Seremban ke KL juga lalu pekan-pekan kecil seperti Semenyih dan Mantin, dan juga Port Dickson, itu sahaja.

Tetapi menggambarkan lirik lagu Blues Gang itu, aku merasakan Negeri Sembilan ketika itu begitu agraria dan masyarakatnya masih bertani. Masih ada orang naik basikal pergi pekan.

Negeri Sembilan yang aku kenal dalam lagu Blues Gang itu mula berubah apabila menteri besar ketika itu, Mohamad Hassan membawa perubahan kepada ekonomi Negeri Sembilan.

Ayah aku dan keluarga berpindah ke Seremban 2 pada 2006 kerana peluang ekonomi yang begitu banyak di sana. Walaupun ayah aku bekerja tender kantin di sebuah kilang di Senawang pada era 90-an, tetapi peningkatan ekonomi Negeri Sembilan dirasai begitu pesat pada sekitar 2000-an.

Hari ini susah untuk aku bayangkan orang Negeri Sembilan pergi pekan naik basikal. Kawasan yang lain seperti Bandar Baru Serting, Kuala Kelawang atau Rembau kini pun dah berubah landskapnya.

Ada kawan baik aku duduk di Rembau pun mula komplen harga makanan di situ sudah mula nak macam harga makanan di Shah Alam akibat pembangunan pesat seperti wujudnya UiTM Rembau dan Hospital Rembau yang bakal dilancarkan kelak.

Tetapi lagu Apo Nak Dikato ini bagi aku adalah satu rakaman memori yang semakin pudar bagi masyarakat Negeri Sembilan. Mungkin masih ada kampung yang masih jauh dari pekan dan tunggu bas dua jam sekali lalu, tapi kalau nak bandingkan Negeri Sembilan dulu dengan sekarang, jauh dah berubah.

Yang aku harap tak berubah ialah gulai lemak daging salai yang aku rasa bagi aku secara jujurnya makanan tersedap di seluruh Semenanjung Malaysia, hands off!

Selamat mengundi warga Rantau! – 13 April, 2019.

* Nomy Nozwir merupakan seorang bekas wartawan yang kini menjadi penulis novel alternatif dengan nama Nami Cob Nobbler. Beliau berkicau di @comradenami.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen