AHLI-ahli Parlimen pembangkang dari Sarawak berkecuali daripada mengundi Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berkenaan status Sabah dan Sarawak dalam persekutuan kerana tidak bersetuju dengan istilah dalam pindaan tersebut, kata Abang Johari Openg, hari ini.
Ketua menteri Sarawak itu berkata ahli-ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkecuali kerana pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong tidak menangani keadaan dengan baik semasa mendraf rang undang-undang pindaan tersebut.
“Jika keadaaan ditangani dengan baik di pihak sekretariat dan kami, (kita) akan ada platform yang kuat (bagi rundingan).
“Istilah (pindaan) sepatutnya lebih baik,” Abang Johari memberitahu pemberita di Petrajaya, hari ini.
Beliau berkata Liew sudah dimaklumkan bahawa rang undang-undang bagi meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan mesti berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Jika ada perbincangan sudah tentu kami akan beri kerjasama,” katanya.
Pindaan yang akan mengembalikan semula status Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara dengan Semenanjung dalam pembentukan Malaysia gagal diluluskan pada Selasa selepas gagal mendapat majoriti dua pertiga undi daripada 222 ahli Parlimen.
Seramai 138 ahli Parlimen menyokong, kurang hanya sepuluh undi. Sebanyak 140 undi diperlukan untuk pindaan itu diluluskan.
Manakala 58 ahli Parlimen berkecuali, termasuk 17 dari Gabungan Parti Sarawak (GPS). – 12 April, 2019.
Komen