PUTRAJAYA sengaja mengagalkan rang undang-undang pindaan perlembagaan untuk mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak, kata wakil rakyat Borneo yang mempertahankan tindakan mereka tidak mengundi menyokong usul tersebut.
Mereka yang kini dikecam hebat sebaliknya menyalahkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menurut mereka “bermain wayang hebat”.
Kata mereka, rang undang-undang yang dibentangkan Putrajaya untuk meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan untuk mengembalikan status setara Sabah dan Sarawak dirancang untuk gagal sejak mula lagi.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Belia Abdul Karim Hamzah berkata Putrajaya tidak ikhlas untuk mengembalikan status setara negeri Borneo dengan membentangkan pindaan yang pastinya akan ditolak wakil rakyat Sarawak dan beberapa wakil rakyat pembangkang Sabah yang berada di Parlimen.
Karim berkata sentimen yang kini tular di media sosial bertajuk “Failed amendment of Article 1(2)” menggambarkan perasaan yang menyelubungi seluruh negeri sekarang.
Catatan tidak bernama itu mendakwa rang undang-undang itu adalah “wayang hebat” Dr Mahathir dan “memang dirangka untuk gagal sejak mula”.
Ia juga mendakwa Dr Mahathir “merancangnya” supaya wakil rakyat pembangkang yang tidak mengundi menyokong pindaan tersebut akan dipersalahkan.
Pindaan itu gagal kerana ia tidak mendapat majoriti dua pertiga 222 wakil rakyat dalam Parlimen. Hanya 138 wakil rakyat daripada 221- kerusi Sandakan kosong kerana wakilnya meninggal dunia- menyokong, kurang 10 undi daripada 140 yang diperlukan.
59 memilih untuk tidak mengundi.
Karim mendakwa kegagalan pindaan tersebut adalah “apa yang sebenarnya Dr Mahathir mahukan dan dia dapat”. – 12 April, 2019.
Komen