PEJABAT pendakwa raya Brazil memfailkan pertuduhan terhadap Presiden Michel Temer atas dakwaan terlibat dalam kegiatan haram dan menghalang proses keadilan, lapor media antarabangsa.
Dia dituduh bersama enam pemimpin kanan dari parti politiknya, tiga daripada mereka kini meringkuk di dalam penjara. Semua mereka berdepan tuduhan yang sama, lapor The Guardian.
Temer didakwa menerima rasuah sebagai ganjaran membuat keputusan-keputusan politik tertentu dan bersubahat menyuap saksi yang boleh mensabitkan kesalahannya.
“Michel Temer dituduh bertindak sebagai ketua kumpulan jenayah sejak Mei 2016,” kata pendakwa Brazil, seperti dipetik oleh The Guardian.
Dewan rendah di Kongres akan mengundi untuk menentukan apakah Temer perlu dibicarakan di mahkamah.
Ini adalah pertuduhan kedua terhadap Temer yang dikemukakan berdasarkan keterangan dan maklumat daripada syarikat daging terbesar dunia, JBS SA.
Dewan yang sama bulan lalu menolak pertuduhan rasuah yang pertama itu.
Penolakan itu bagaimanapun tidak mematikan pertuduhan tersebut, yang masih boleh dibawa ke mahkamah apabila Temer habis tempoh jawatannya pada 1 Januari 2019, lapor Reuters.
Temer menafikan semua pertuduhan.
Agensi berita Reuters juga melaporkan pihak pendakwa akan mengemukakan pertuduhan terhadap bekas pengerusi JBS, Joesley Batista yang mendedahkan maklumat mengenai salah laku Temer.
Batista ditahan Ahad lalu kerana menyembunyikan jenayah lain dalam perjanjian tawar menawar pengakuan dengan pihak pendakwa.
Pertuduhan ini adalah sebahagian daripada siasatan menyeluruh pihak berkuasa Brazil yang membawa kepada sabitan ke atas bekas presiden Luiz Inacio Lula da Silva serta empat pertuduhan yang dihadapinya. Ia juga melibatkan tiga bekas presiden serta sejumlah anggota Kongres, dan sabitan terhadap lebih 100 tokoh bisnes dan politik negara itu. – Agensi, 15 September 2017
Komen