TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan menyambut baik peringatan Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak timbul sebarang usaha untuk melaga-lagakannya orang nombr satu dalam parti itu.
Beliau juga menafikan wujud sebarang persengketaan di antara beliau dan Ahmad Zahid dan menambah, semua tindakannya dimaklumkan kepada presiden Umno itu.
Mohamad seterusnya meminta supaya semua pihak menghentikan segala spekulasi dan memberi tumpuan untuk mengukuhkan parti dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya.
“Ahmad Zahid sentiasa dalam pengetahuan mengenai perjalanan parti. Jadi tidak timbul soal kita membelakangkan dia.
“Jadi tidak timbul lagi soal masih lagi nak bertikam antara satu sama lain,” katanya dalam sidang media di bilik operasi Barisan Nasioal (BN) di Rantau hari ini.
Mohamad bertanding sebagai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN tersebut.
Secara berseloroh, Mohamad seterusnya mencadangkan kepada Majlis Kerja Tertinggi Umno supaya keris dalam logo Umno itu “disarungkan”.
Jelasnya, keris tak bersarung itu memberi gambaran bahawa ahli parti Melayu itu gemar kepada pergaduhan.
“Sebab keris tak bersarung ini nak berentap sahaja dan bertikam sahaja antara satu sama lain, bila dah duduk dalam sarung keris itu duduk diam-diam,” katanya.
Mengulas menggenai prestasi beliau dalam menjalankan tugas-tugas presiden, Mohamad berkata beliau juga sedang memberi tumpuan untuk menurunkan kuasa ke negeri dan bahagian,
Ia bertujuan untuk membolehkan kuasa Umno tidak berpusat di ibu pejabat parti sahaja.
“Sabah dalam jangka masa panjang tidak sesuai untuk Umno diurus daripada ibu pejabat. Situasi di Sabah, mereka tidak suka parti daripada Semenanjung.
“Mereka lebih suka daripada Sabah dan Sarawak. Kita akan buat sebagaimana yang dibuat di Sarawak. Di sana tidak ada Umno tapi kita ada parti yang bersekutu dengan kita.
Beliau juga mengucap “selamat maju jaya” kepada Bersatu yang melebarkan sayapnya di Sabah baru-baru ini.
“(Tetapi) Saya tidak rasa Sabah dan Sarawak akan terima Bersatu di Sabah dan Sarawak,” katanya. – 11 April, 2019.
Komen