PARLIMEN tidak perlu menggantung Ahli Parlimen Pekan Najib Razak kerana melanggar embargo ke atas laporan Kertas Putih Felda, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.
Katanya, tindakan penggantungan selama tiga bulan itu tidak munasabah kerana persidangan Dewan Rakyat hanya berbaki sehari, sebelum dimulakan semula empat bulan kemudian.
“Tak payah gantung pun (Najib) sebab Parlimen bersidang lagi empat bulan. Buat apa nak gantung. Lagi sehari bersidang tidak ada apa-apa.
“Sebab Parlimen akan bersidang kembali lepas empat bulan. Edah tiga bulan adalah semasa Parlimen tidak bersidang,” katanya.
Laporan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda itu dibentangkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali pagi semalam.
Najib memuat naik beberapa muka surat Kertas Putih tersebut berkaitan pembelian 37% pegangan Eagle High Plantation di Indonesia dibuat Felda di Facebook pada petang Selasa.
Kertas Putih Felda dikenakan embargo sehingga jam 11.30 pagi Rabu.
Tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkannya sebagai satu perkara yang tidak boleh dikompromi.
Pakatan Harapan mengemukakan usul agar keahlian Najib digantung kerana perbuatan itu melanggar Peraturan Mesyuarat 95A Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Peruntukan berkenaan menggariskan kesalahan kerana melakukan suatu perbuatan menghina majlis mesyuarat.
Pemberitahuan usul Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada ahli Dewan semalam menyebut, “Maka inilah dipersetujui bahawa Yang Berhomat Pekan hendaklah digantung daripada tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama tiga bulan”.
Dalam satu lagi pemakluman, satu lagi usul yang akan dikemukakan PH adalah untuk merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ahli Dewan Rakyat. – 11 April, 2019.
Komen