Lebih baik Pakatan 'harakiri' sebelum dibunuh, kata Zahid


SM Amin

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan melakukan kesilapan kerana membuat pindaan Perlembagaan secara tergesa-gesa tanpa mengikut saluran yang betul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 11 April, 2019.

KERAJAAN sepatutnya menyerah kalah sahaja kerana gagal meminda Perlembagaan untuk mengembalikan status asal Sabah dan Sarawak, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menyarankan demikian kerana menurutnya kerajaan melakukan kesilapan kerana membuat pindaan Perlembagaan tersebut secara tergesa-gesa tanpa mengikut saluran yang betul.

“Bak kata kawan saya…. kalau di Jepun memang harakiri (bunuh diri). Elok bunuh diri sebelum dibunuh, sebab mereka yakin dengan pindaan Perlembagaan semalam,” kata Zahid.

Beliau menyarankan demikian kepada Pakatan Harapan (PH) yang gagal mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kerajaan hanya mendapat sokongan 138 ahli Parlimen manakala 59 lagi termasuk wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak mengundi semasa undi belah bahagi.

Jelas Zahid, tindakan itu tergesa-gesa kerana DUN Sabah dan Sarawak sepatutnya membahaskan cadangan pindaan tersebut terlebih dahulu.

Katanya, usul tersebut perlu menepati cita rasa kedua-dua negeri itu sebelum di bawa ke peringkat Parlimen.

Jelasnya, ia berbeza dengan usul pindaan Perlembagaan bagi menurunkan had umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Usul tersebut juga memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen, tetapi ia akan disokong BN kerana anak muda akan menyokong parti itu dalam PRU15 akan datang.

Oleh itu, beliau mencabar kerajaan untuk mengemukakan usul tersebut.

“PRU15 nanti, wahai kerajaan aku nak ingatkan kamu. Anak-anak muda terutama berumur 40 tahun ke bawah, kebanyakan mereka menentang arus sekarang ini.

“Kami pembangkang, kami dianggap ssbagai penentang arus, cubalah bawa ke Parlimen pinda Perlembagaan turunkan umur pengundi 18 tahun.

“Mereka itu (orang muda) akan bersama dengan kita BN,” katanya lagi dalam ucapan dalam kempen PRK DUN Rantau pada malam tadi bagi menyokong calon BN, Mohamad Hasan.

Kempen PRK DUN Rantau berakhir esok dan akan menunjukkan jika BN dapat mengekalkan kemenangan seperti di kerusi Cameron Highlands (26 Januari) serta Semenyih (2 Mac).

Lima PRK lebih awal, di Sungai Kandis (4 Ogos), Balakong dan Seri Setia (8 September), serta Port Dickson (13 Oktober) dimenangi PH.

Pengundian awal yang berlangsung pada Selasa bagi PRK DUN Rantau merekodkan jumlah keluar mengundi yang tinggi, sekitar 96% daripada 110 pengundi awal.

Seramai 20,926 pemilih di Rantau terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal, lapan daripadanya mengundi secara pos.

Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan menentang calon PH Dr S Streram serta dua calon Bebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen