Firefly terbang ke Seletar, Singapura mulai 21 April


Julia Yeow

Penangguhan laluan Singpura dialami Firefly menyebabkan syarikat itu rugi sehingga RM20 juta. – Gambar EPA, 11 April, 2019.

FIREFLY Airlines akan membuat penerbangan pertama ke Lapangan Terbang Seletar, Singapura pada 21 April, selepas lima bulan menggantung operasi ke republik itu kerana kemelut ruang udara Malaysia-Singapura.

Seorang sumber syarikat yang arif mengenai perkara itu memberitahu The Malaysian Insight yang penerbangan itu akan membawa “ramai VIP”, tetapi senarai penumpang masih belum dimuktamadkan.

Sumber berkata Firefly berharap untuk memulakan dua penerbangan sehari, dan “perlahan-lahan naik kepada 6x sehari”, menambah yang penerbangan itu akan mula dijual seawal hari ini.

“Kami masih menunggu pihak Singapura untuk mengesahkan slot (penerbangan),” katanya.

Menurut sumber, penerbangan ujian pertama Firefly ke Seletar berlepas dari Lapangan Terbang Subang pada jam 9.40 pagi hari ini.

Pada mulanya, Firefly dijangka mula terbang ke Seletar bermula 1 Disember tahun lepas, tetapi ditangguhkan selepas pemeriksaan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada Oktober mendapati sistem pendaratan instrumen (ILS) tidak diluluskan kerana dianggap menganggu pembangunan pelabuhan Pasir Gudang, Johor.

Disebabkan itu, Firefly tidak diberikan kebenaran untuk beroperasi dari Seletar.

Pada masa sama, syarikat itu sudah hilang slot pendaratan di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, yang sebelum ini mengendalikan 20 penerbangan setiap hari dari Subang.

Kemelut ruang udara dua negara itu menyebabkan syarikat itu kerugian jutaan ringgi kerana pembatalan laluan Singapura.

Minggu lepas, menteri pengangkutan kedua-dua negara mengesahkan penyelesaian sudah dicapai.

Singapura bersetuju menarik balik prosedur ILS untuk Seletar, manakala Malaysia membatalkan larangan kawasan terhad ruang udara Pasir Gudang.

Januari lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Group Izham Ismail berkata, Firefly kerugian RM20 juta dalam hanya sebulan kerana penggantungan laluan penerbangan itu.

Firefly adalah anak syarikat kumpulan MAS. – 11 April, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen