PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin dan ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya tidak melaga-lagakan beliau dengan timbalannya, Mohamad Hasan.
Zahid berkata perbuatan seperti “tukang kipas satay” itu mampu memecah-belah parti sekali lagi seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
“Satay kalau ada tukang kipas dia kipas kejap kiri, sekejap kanan, sekejap depan, sekejap belakang. Tukang kipas satay ini bahaya. Ada dalam parti, ada di luar parti.
“Jangan termakan dengan cucukan-cucukan mereka yang mahu pecah-belahkan kita. Hati-hati dengan tukang cucuk ini,” katanya ketika berkempen di Dun Rantau pada malam tadi.
Ceramah Zahid di Taman Angsamas malam tadi merupakan ucapannya yang pertama di khalayak umum selepas menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad pada Disember tahun lalu.
Beliau menjawab kenyataan bekas presiden MIC, Dr S Subramaniam semalam yang meramalkan Mohamad bakal dipilih sebagai presiden Umno dan seterusnya dilantik sebagai perdana menteri sekiranya BN berkuasa semula.
Mengulas perkara sama, Mohamad semalam juga menegaskan agar spekulasi tersebut dihentikan kerana ia akan menyebabkan beliau “dibunuh” lebih cepat dalam politik.
Seterusnya, Zahid dalam ucapannya berkata beliau percaya dan tidak cemburu dengan pencapaian Mohamad selepas lebih 100 hari menyerahkan tugas presiden kepada bekas Adun Rantau itu.
Katanya, beliau melihat Mohamad mampu meneruskan rundingan kerjasama Umno dan PAS yang dimulakan oleh beliau.
“Tok Mat (Mohamad) kawan saya, apabila saya memberikan kepercayaan kepada beliau, untuk menjalankan tugas-tugas presiden Umno, beliau telah jalankan tugas yang paling baik setakat ini.
“Saya arkitek kerjasama Umno dan PAS. Saya terima kasih kepada Tok Mat kerana meneruskan tugas-tugas saya mengadakan tindakan susulan dengan PAS.
“Saya tidak cemburu dengan Tok Mat, dia tidak cemburu saya, tapi saya kena ingat saya ada tukang cucuk, Tok Mat lagi ramai tukang cucuk, hati-hati dengan tukang cucuk ini,” katanya.
Kempen PRK DUN Rantau berakhir esok dan akan menunjukkan jika BN dapat mengekalkan kemenangan seperti di kerusi Cameron Highlands (26 Januari) serta Semenyih (2 Mac).
Lima PRK lebih awal, di Sungai Kandis (4 Ogos), Balakong dan Seri Setia (8 September), serta Port Dickson (13 Oktober) dimenangi Pakatan Harapan (PH).
Pengundian awal yang berlangsung pada Selasa bagi PRK DUN Rantau merekodkan jumlah keluar mengundi yang tinggi, sekitar 96 peratus daripada 110 pengundi awal.
Seramai 20,926 pemilih di Rantau terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan selebihnya 118 pengundi awal, lapan daripadanya mengundi secara pos.
Mohamad yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan menentang calon PH Dr S Streram serta dua calon Bebas R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin. – 11 April, 2019.
Komen