Bubar Dewan Negeri Johor untuk elak kemelut panjang


KEMELUT pentadbiran kerajaan negeri Johor telah bermula sejak perlantikan Osman Sapian sebagai menteri besar Johor. 

Ramai yang mempertikaikan kebolehan beliau mentadbir kerajaan negeri berasaskan kepada latar belakangnya sehinggalah akhirnya mengakui sendiri tidak menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi. 

Beliau juga tidak dapat menunjukkan dengan jelas hala tuju pentadbirannya dan gagal membuat pertimbangan yang tepat dalam menguruskan pentadbiran kerajaan, termasuklah menangani tragedi Pasir Gudang baru-baru ini.

Semua perkara itu menyebabkan seluruh rakyat Johor gelisah kerana pimpinan negeri dilihat tidak ada kredibiliti langsung untuk mentadbir kerajaan yang mendapat jolokan ‘Harimau Selatan’. 

Apatah lagi Johor berjiran dengan Singapura yang kecil tapi dikatakan lebih maju. Johor sepatutnya memanfaatkan ekonomi sempadan (boarder economic) supaya alirannya tidak sehala sahaja.

Pada hari ini, menteri besar yang gagal itu telah melepaskan jawatannya. Maka bersambunglah kemelut politik, siapa yang bakal menerajui pimpinan negeri. 

Ada pihak yang melihat, akan berlaku percaturan antara calon Dr Mahathir Mohamad dan calon Anwar Ibrahim. Calon Dr Mahathir akan menjadi ‘yes man’ kepada perdana menteri, manakala calon Anwar akan bermasalah dengan Putrajaya.

Oleh hal yang demikian, saya dengan rasa rendah diri berpandangan bahawa Tuanku Sultan Ibrahim boleh membubarkan Dewan Negeri Johor, mengikut Fasal 23(2) Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895, yang menyatakan; ‘Raja boleh menangguhkan atau memansuhkan dewan negeri’.

Ini adalah berasaskan kepada:

1) Setelah 10 bulan Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan negeri Johor, rakyat tidak dapat melihat dengan jelas hala tuju pentadbiran kerajaan negeri.

2) PH tidak mempunyai barisan Ahli Dewan Undangan Negeri sedia (Adun) ada yang mempunyai kredibiliti dan pengalaman untuk memimpin kerajaan. Oleh hal yang demikian, PH boleh membariskan bakal pimpinan negeri dalam pilihan raya umum negeri itu.

3) Pilihan raya umum negeri juga boleh memberi peluang kepada rakyat sekali lagi untuk memilih kerajaan yang lebih diyakini.

4) Pilihan raya umum negeri juga dapat membersihkan dakwaan yang kononnya pihak istana terlibat dalam politik semasa.

Dalam konteks Malaysia Baharu yang digembar-gemburkan oleh PH seharusnya mementingkan rakyat dari soal politik semata-mata. Saya yakin, persaingan sihat dalam pilihan raya umum negeri, akan memberikan ruang kepada PH menjelaskan hala tuju kerajaannya, di samping Barisan Nasional dan PAS menawarkan gagasan barunya.
 – 10 April, 2019.

* Md Jais Sarday adalah ketua Umno Bahagian Kluang.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen